MOHD Nor (kiri) bertukar dokumen dengan Chan sambil disaksikan Kamari (dua dari kiri).
MOHD Nor (kiri) bertukar dokumen dengan Chan sambil disaksikan Kamari (dua dari kiri).
Sri Ayu Kartika Amri


CO-OPBANK Pertama (CBP) meluaskan lagi perkhidmatannya melalui kerjasama dengan Media Prima Omnia (Omnia) bagi menyediakan pakej pembiayaan dan pengiklanan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, pihaknya yakin menerusi kerjasama itu dapat membuka akses pelanggan PKS CBP serta menyediakan kemudahan pembiayaan pada kadar rendah.

Katanya, ia juga dapat membantu peminjam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka terus kepada pelanggan sasaran menerusi pengiklanan di platform Media Prima Berhad.

"Dengan kerjasama ini, ia memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan kami khususnya PKS yang kini bukan sekadar boleh membuat pembiayaan dengan CBP, tetapi juga ditawarkan sekali pakej pengiklanan daripada Omnia jika mereka berminat.

"Nilai tambah yang ditawarkan CBP dan Omnia ini diyakini mampu menarik lebih ramai pelanggan baharu kami pada masa akan datang.

"Malah, kerjasama dengan Omnia ini saya lihat akan mendekatkan lagi produk CBP dengan pelanggan kami menggunakan platform mereka," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Ekskeutif CBP, Mohd Nor Abd Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Omnia, Datuk Michael Chan.

Sementara itu, Chan berkata, pihaknya berharap menerusi kerjasama itu akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

"Kami menawarkan pakej pengiklanan istimewa kepada pelanggan CBP dan mereka akan menikmati kadar lebih baik berbanding kadar biasa yang ditawarkan Omnia.

"Kami akan membantu pelanggan CBP menerusi kerjasama unik ini untuk meluaskan lagi capaian pemasaran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 7:01 AM