Program Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB) diteruskan dengan siri webinar kedua.
Program Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB) diteruskan dengan siri webinar kedua.

Kuala Lumpur: Program Omnia Usahawan Social Biz (OmniaUSB) yang dianjurkan Media Prima Omnia dengan kerjasama Harian Metro diteruskan dengan siri webinar kedua yang menampilkan ahli panel yang sedia berkongsi beberapa panduan berkaitan pengurusan kewangan dan komunikasi dalam perniagaan.

Webinar ini dikendalikan pengacara terkemuka, Nazruddin Rahman bersama jurucakap jemputan dalam kalangan industri, penyedia sistem, institusi kewangan, kerajaan dan swasta, serta personaliti terkemuka.

Media Prima Omnia berkata, webinar ini acara pengenalan kepada semua usahawan PKS yang diadakan secara percuma bagi memperkenalkan OmniaUSB dan manfaat yang bakal mereka perolehi apabila mereka mendaftar sebagai AhliUSB.

Ia juga sebagai ruang membantu menambah kemahiran, ilmu, keyakinan dan laluan kepada mereka agar dapat membangunkan semula bisnes ke tahap lebih baik, khususnya dalam proses pemulihan selepas pandemik.

Untuk siri kedua, webinar diadakan secara langsung berbanding secara maya sebagaimana pada siri pertama.

Naz Rahman kembali mengendalikan webinar ini dan dua personaliti jemputan bakal berkongsi tip dan pengetahuan bagi usahawan PKS yang ingin mengetahui mengenai kelebihan menyertai OmniaUSB.

Untuk webinar yang diadakan pada 30 September, selain usahawan berdaftar dengan OmniaUSB atau dikenali sebagai AhliUSB, orang ramai dipelawa menyertai webinar ini bagi mendapatkan pelbagai panduan yang dikongsi dengan ahli panel.

Siri kedua webinar ini boleh diikuti melalui laman Facebook Harian Metro dan OmniaUSB, serta di laman sesawang www.omniausb.com.my mulai jam 2 petang.

Pada sesi pertama, Penasihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Shah Alam, Tia Iskandar Abdulah mengetengahkan perbincangan bertajuk Rancang Masa Depan Anda Bersama KWSP - Manfaat Yang Perlu Direbut.

Beliau mengupas mengenai kepentingan merancang bisnes untuk masa hadapan agar sentiasa bersedia dan kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Beliau juga berkongsi mengenai permasalahan, cabaran, struktur dan solusi yang boleh dilakukan bersama KWSP.

Selepas itu, sesi diteruskan dengan perkongsian oleh Penerbit Eksekutif, Media Prima Berhad, Ally Iskandar Mohd Mardzi melalui tajuk Komunikasi Bisnes.

Sebagai personaliti TV, pengacara dan penyampai radio terkemuka, beliau berkongsi kaedah komunikasi efektif dalam mengukuhkan bisnes serta cara komunikasi kepada pelanggan.

Selain pengalaman, beliau juga berupaya menyalurkan kemahiran yang perlu ada dalam setiap hala tuju komunikasi ke arah pemantapan bisnes.

Untuk maklumat lanjut atau mendaftar sebagai AhliUSB, hubungi Pengurus Projek OmniaUSB, Mohd Haslan Abbas di 012-656 0263.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:05 AM