MICHAEL Chan
MICHAEL Chan

MEDIA Prima Omnia menawarkan Pakej Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) #KitaMalaysia bagi membantu mempromosi produk dan perkhidmatan tempatan sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-64 tidak lama lagi.

Melalui kempen ini, PKS berpeluang menerima penampilan media bernilai RM1 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia Bhd, Datuk Michael Chan berkata, pandemik Covid-19 dan norma baharu bukan perkara mudah untuk kebanyakan usahawan PKS dan pihaknya membuka ruang untuk membantu golongan ini meneruskan operasi mereka lebih lancar.

"Bagi membantu usahawan, kami menawarkan pakej istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan bulan depan.

"Melalui pakej ini, usahawan berpeluang mendapatkan penampilan media bernilai RM1 juta merangkumi liputan dalam akhbar, radio dan digital sekiranya mereka menyertai satu daripada empat pakej ditawarkan melalui kempen #KitaMalaysia," katanya.

Pakej pertama ditawarkan adalah Pakej Pemula iaitu pada harga bermula RM5,000 apabila usahawan berpeluang menyerlahkan produk mereka melalui Wowshop dan platform lain di bawah Media Prima bermula 16 Ogos hingga penghujung September.

Pakej Premium terdiri daripada tiga pek berbeza dengan masing-masing ditawarkan pada harga RM10,000, RM15,000 dan RM20,000 yang memberi peluang lebih luas dan liputan di lebih banyak platform kendalian Media Prima.

"Kami maklum usahawan memerlukan platform yang luas untuk mempromosikan produk mereka.

"Maka, kami menawarkan pakej mampu milik dan penyelesaian mudah untuk membantu mereka sepanjang bulan Kemerdekaan ini," katanya.

Menurutnya, selain PKS, syarikat korporat dan agensi kerajaan juga digalakkan menyertai kempen ini bagi memberi impak kepada jenama mereka.

"Kempen ini platform terbaik untuk mengukuhkan jenama sama ada untuk syarikat besar atau kecil dan kami menyediakan penyelesaian terbaik bagi semua jenis pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:55 AM