PKS berdepan cabaran meneruskan operasi dalam era pandemik Covid-19.
PKS berdepan cabaran meneruskan operasi dalam era pandemik Covid-19.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Media Prima Omnia (Omnia), penyedia perkhidmatan kreatif dan pemasaran bersepadu di semua platform Media Prima, melancarkan Usahawan Social Biz (OmniaUSB), platform perniagaan baharu bagi membantu usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan berkata, OmniaUSB bertindak sebagai pusat perniagaan sehenti untuk PKS dan pemain industri serta menyediakan penyelesaian perniagaan, program pemerkasaan dan pelbagai kursus pembangunan perniagaan untuk syarikat dan individu.

Katanya, OmniaUSB direka khas bagi memenuhi setiap keperluan sektor PKS, tanpa mengira saiz perniagaan atau produk yang ditawarkan.

"Kami mahu OmniaUSB menjadi pusat kecemerlangan PKS serta berfungsi sebagai pusat perniagaan untuk pemain industri tempatan yang lain, sama-sama berkongsi pengetahuan dan membantu antara satu sama lain.

"Sebagai permulaan kami menyasarkan kira-kira 500 PKS akan mendaftar dengan OmniaUSB dan setakat ini lebih kurang 200 PKS sudah menunjukkan minat," katanya pada majlis pelancaran OmniaUSB secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Husain Jahit.

HM adalah rakan kandungan berita bagi OmniaUSB.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan.

Michael berkata, Omnia turut menubuhkan pasukan khas bagi memastikan setiap perniagaan PKS di bawah OmniaUSB kekal relevan dan terus berdaya saing, terutama ketika berdepan krisis ekonomi masa kini, ekoran pandemik Covid-19.

Menurutnya, menerusi komuniti perniagaan tempatan yang diwujudkan itu, OmniaUSB akan menjalankan pelbagai program membekalkan PKS dengan pengetahuan, kemahiran serta sistem dan teknologi yang membolehkan usahawan terbabit untuk mengemudi perniagaan mereka secara lebih berkesan, sekaligus meningkatkan jualan dan hasil syarikat.

"Melalui jalinan dan rangkaian yang terdapat di Omnia, OmniaUSB mampu menghubungkan pemilik perniagaan PKS ini dengan media tempatan untuk tujuan promosi dan kesedaran penjenamaan, dan mereka juga berpeluang berhubung dengan pakar pendigitalan, perniagaan serta penyedia perkhidmatan utama yang akan membuka ruang dan peluang untuk mereka bekerjasama, sesuatu yang tidak pernah dinikmati oleh kebanyakan usahawan kecil dan sederhana pada masa ini.

"Di Omnia, kami memiliki jaringan yang amat meluas dan menguntungkan khususnya dalam pasaran masyarakat Melayu, dan kami ingin memberikan peluang yang menguntungkan ini kepada semua perniagaan PKS tempatan yang menjadi ahli OmniaUSB," katanya.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Sementara itu, Husain berkata, PKS yang mendaftar OmniaUSB akan diberi peluang untuk menerbitkan artikel perniagaan mereka di akhbar Harian Metro.

"Selain itu, kami akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta institusi kewangan dan kita akan bantu PKS berhubung dengan agensi berkenaan.

"Peluang ini hanya sekali, justeru PKS perlu mengambil peluang ditawarkan dengan segera," katanya.

Platform OmniaUSB menyasarkan pengusaha mikro, PKS, syarikat pemula dan industri barangan pengguna yang bergerak pantas atau cepat laris (FMCG), yang diusahakan dari rumah.

Dilengkapi dengan Pengurusan Perniagaan berasaskan maya, PKS akan mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan perniagaan mereka pada bila-bila masa dan di mana saja, dengan menggunakan papan pemuka pintar, yang menggabungkan semua aspek penting dan fungsi operasi perniagaan mereka.

Dengan yuran tahunan serendah RM270, ahli USB bakal menikmati kesemua insentif yang ditawarkan oleh OmniaUSB, termasuk pakej media istimewa oleh Media Prima bernilai lebih RM14,000.

Di samping itu, ahli juga layak mendapat faedah tambahan untuk pakej perkhidmatan kreatif oleh Media Prima Omnia, termasuk bagi reka bentuk iklan, penulisan kandungan iklan dan produksi video.

Keahlian OmniaUSB ini juga dilihat mampu membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan rakan strategik Media Prima Omnia yang lain, termasuk dari sektor kewangan dan sistem perniagaan.

Program webinar OmniaUSB akan diteruskan sepanjang 2021 dengan lebih banyak sesi yang akan dipimpin oleh personaliti perniagaan dan pakar pemasaran yang tersohor dalam bidang masing-masing.

Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.omniausb.com.my atau melalui talian WhatsApp 019-241 6410.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:02 PM