FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: TH Plantations Bhd (THP) menjangkakan harga minyak sawit kekal tinggi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama 2021 dan menjadi sederhana pada separuh kedua 2021 ketika pengeluaran meningkat, paras stok semakin baik dan harga minyak biji bijian global menyederhana.

Menurut Laporan Tahunan 2020, syarikat berpendapat faktor yang boleh menjejaskan harga termasuk Covid-19 yang akan terus mempengaruhi persekitaran harga secara keseluruhan, tetapi impak ini akan dikurangkan menerusi program vaksinasi global terbesar dalam sejarah.

"Kesan daripada pandemik pada 2021 akan terus menyaksikan kekurangan tenaga kerja dalam jangka pendek berikutan penutupan sempadan antarabangsa," katanya.

Di samping itu, impak daripada mandat B30 Indonesia yang dilaksanakan akan terus menyokong harga minyak sawit kerana sebahagian besar kuantiti diserap oleh program ini.

THP menambah permintaan China untuk makanan soya dijangka meningkat memandangkan negara itu sudah pulih daripada wabak demam babi.

Selain itu, sentimen antikelapa sawit yang berterusan di Eropah dan desakan untuk menghentikan penggunaan bahan api biologi (biofuel) minyak sawit menjelang 2030 akan menjejaskan harga kerana ekonomi utama Eropah akan fokus kepada memaksimumkan pengeluaran minyak biji bijian mereka sendiri.

THP berkata, sementara pengeluaran minyak sawit Malaysia mungkin tidak meningkat dengan ketara pada 2021, pengeluaran global dijangka pulih kembali dengan pengeluaran Indonesia dijangka meningkat sehingga 3.3 juta tan metrik.

"Walaupun peningkatan dijangkakan dalam pengeluaran minyak secara keseluruhan, jumlah permintaan diunjur berkembang sebanyak lima juta tan metrik pada 2021," katanya.

Sementara itu, ia menambah harga minyak sawit mungkin stabil pada Julai 2021 dan terus bertahan sepanjang tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 8:19 AM