Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perkembangan industri koko negara boleh dianggap baik dan positif pada masa ini serta dijangka terus berkembang dengan permintaan yang kian meningkat daripada tahun ke tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr Lee Choon Hui berkata, perubahan bagi salah satu komoditi negara itu amat ketara iaitu daripada negara pengeluar bahan mentah biji koko pada tahun 80-an kepada antara negara pengisar utama koko di Asia dan pengeksport produk berasaskan koko.

Menurutnya, pada setiap tahun negara perlu mengisar 360,000 metrik tan biji koko bagi memenuhi permintaan pasaran, namun kini Malaysia hanya mampu mengisar antara 250,000 hingga 300,000 metrik tan biji koko sahaja.

Pada 2014, negara berjaya mengisar sebanyak 244,423 metrik tan biji koko berbanding 285,608 metrik tan biji koko pada 2013 ekoran faktor seperti kekurangan permintaan dunia dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan.

“Untuk tahun ini, LKM optimis dan menjangkakan pengisaran biji koko negara akan meningkat kepada 290,000 metrik tan dengan pasaran dijangka baik berbanding tahun lalu,” katanya di sini.

Beliau berkata, negara turut mencatatkan peningkatan sebanyak 32.3 peratus daripada aspek perolehan eksport biji koko dan produk koko kepada RM4.795 bilion pada tahun lalu berbanding RM3.625 bilion pada 2013.

“Sepanjang lima tahun lalu, nilai eksport bagi industri koko menunjukkan peningkatan dengan jangkaan eksport pada tahun ini stabil pada paras RM4.8 bilion dibantu peningkatan harga produk koko terutama lemak dan pes koko serta coklat.

“Fokus utama kami adalah untuk meningkatkan pengeluaran produk berasaskan koko bagi memberi nilai tambah kepada industri terbabit dalam matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluar produk utama di Asia pada jangka masa panjang.

Ketika mengulas mengenai sektor huluan koko, Choon Hui berkata, pengeluaran biji koko tempatan terjejas ekoran persaingan penggunaan tanah termasuk daripada komoditi lain seperti kelapa sawit.

Menurutnya, keluasan tanaman koko susut daripada 11,000 hektar pada 2012 manakala pengeluaran mencatatkan penurunan daripada 4,605 metrik tan pada 2011 kepada 2,809 metrik tan pada 2013.

Untuk menangani perkara itu, LKM mula mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Program Tanaman Koko Baru bagi meluaskan kawasan tanaman kepada 17,000 hektar pada tahun ini berbanding 16,000 hektar tahun lalu.

“Kami mencapai peningkatan hasil biji koko tempatan pada tahun lalu di mana sebanyak 2,665 metrik tan biji koko berbanding anggaran 2,000 metrik tan dan kami jangka pengeluaran ini akan terus meningkat kepada 3,200 metrik tan biji koko pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:27 AM