GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: THP Plantations Berhad (THP) melihat rasionalisasi subsidi diesel tidak akan memberi impak kepada THP, sebaliknya akan memanfaatkan pekebun kecil.

THP menerusi kenyataan hari ini berkata, berdasarkan pengumuman baru-baru ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rasionalisasi subsidi diesel, THP memahami kebimbangan pihak berkepentingannya sama ada perubahan ini akan menjejaskan prestasi dan operasi THP.

Katanya, THP sebagai pemain huluan dalam rantaian bekalan kelapa sawit sudah menggunakan diesel pada kadar perindustrian dan dengan itu, penyingkiran subsidi diesel tidak akan memberi kesan kepada prestasi THP.

"THP mengalu-alukan Program Budi Madani yang diumumkan untuk memberi subsidi diesel bersasar kepada pekebun kecil agro komoditi.

"Subsidi ini akan memberikan faedah kepada pekebun kecil yang membekalkan buah sawit kepada kilang minyak sawit milik THP.

"THP melaksanakan inisiatif membeli buah tandan segar (BTS) sawit daripada pekebun kecil Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti kilang sawit miliknya dan pada masa yang sama, menyumbang pendapatan lebih baik kepada golongan ini.

"Kerjasama strategik bersama pekebun kecil ini adalah pendekatan serampang dua mata yang memberikan pulangan menarik kepada kedua-dua pihak, selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan menyasarkan peningkatan status ekonomi pekebun kecil Bumiputera," katanya.

THP berkata, inisiatif ini juga mewujudkan rantaian nilai mampan bagi pekebun kecil, THP dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Berpandukan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif berkenaan sudah dilebarkan hampir ke seluruh enam kilang milik THP yang beroperasi.

Selain itu, ia akan dapat memberikan faedah lebih baik kepada mereka yang menggunakan pelbagai jenis pengangkutan persendirian seperti lori kecil untuk mengeluarkan buah sawit dari ladang mereka dan menghantarnya ke kilang milik THP.

"THP menyokong usaha murni kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan ekonomi negara.

"Inisiatif ini adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kami akan memberi komitmen untuk menyumbang secara positif kepada matlamat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:21 PM