FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus diniagakan di atas paras RM5,000 satu tan metrik bagi tempoh separuh pertama 2022 di tengah-tengah kekurangan bekalan minyak makan - minyak bunga matahari - ekoran perang Rusia-Ukraine, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, memandangkan tiada ramalan jelas selama mana konflik itu akan berlarutan, minyak sawit terus mendapat permintaan meskipun harganya yang tinggi ketika ini.

Perang Rusia-Ukraine merupakan faktor utama yang melonjakkan harga MSM kepada RM8,000 satu tan metrik pada minggu lepas.

"Apa yang lebih penting bagi kita adalah memastikan kita ada bekalan mencukupi dan ia tidak terhad kepada MSM sahaja tetapi juga RBD (minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyah bau)," katanya kepada pemberita pada persidangan dan pameran prospek harga Minyak Sawit dan Laurik yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia hari ini.

Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar utama minyak bunga matahari dunia, masing-masing menyumbang 7.3 juta tan metrik dan 5.8 juta tan metrik pada 2020.

Kedua-dua negara ini menyumbang hampir 73 peratus daripada perdagangan eksport minyak bunga matahari.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Parveez berkata dengan kedatangan bulan Ramadan pada April, MSM dijangka terus mendapat permintaan tinggi terutamanya dari negara-negara Islam serta India, pengguna minyak sawit terbesar dunia.

Beliau berkata India telah mengurangkan cukainya ke atas import MSM kepada 5 peratus daripada 7.5 peratus untuk membantu kilang penapis dan pengguna domestik.

"India terus mengurangkan dutinya dan, sudah tentunya ia berharap Malaysia akan mengurangkan duti eksportnya...tetapi ia agak sukar," katanya.

Sementara itu, menerusi ucapannya pada majlis hari ini Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Datuk Muhamad Umar Swift berkata di pasaran fizikal, harga MSM mencecah paras setinggi RM8,400 setan metrik manakala bagi kontrak bulan semerta FCPO (niaga hadapan MSM), harga baru-baru ini mencecah setinggi RM8,757 setan metrik.

"Pada masa yang sama, harga kontrak FCPO bulan ketiga mencecah RM7,000 setan metrik tahun ini buat pertama kalinya.

"Meskipun pergerakan harga tidak menentu dalam pasaran MSM, Bursa Malaysia Derivatives dan kontrak FCPO kita mempamerkan prestasi dagangan keseluruhan yang kukuh pada 2021, mengatasi prestasinya pada 2020," katanya.

Beliau berkata pada 2021, kedua-dua keseluruhan jumlah dagangan dan jumlah dagangan FCPO masing-masing mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah iaitu pada 18.4 juta dan 15.6 juta.

Pengeluaran MSM negara bagi Januari tahun ini berkembang sebanyak 11 peratus kepada 1.25 juta tan metrik berbanding 1.13 juta tan metrik yang direkodkan semasa tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, pengeluaran tidak mencapai parasnya seperti sebelum pandemik manakala permintaan terhadap minyak makan mencatatkan pemulihan kukuh, kata Muhamad Umar Swift.

"Pada masa depan, apabila dunia mula membuka semula sempadan, peserta pasaran perlu bersiap sedia untuk memanfaatkan peningkatan kemeruapan harga akibat daripada pemulihan ekonomi yang tidak menentu, potensi perubahan dalam dasar perdagangan global, keadaan cuaca yang tidak dapat diramalkan dan juga kesan daripada konflik antara Rusia dan Ukraine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 3:50 PM