Mavcap melabur dalam syarikat yang merentasi seluruh spektrum ekonomi. Foto: Hafiz Sohaimi
Mavcap melabur dalam syarikat yang merentasi seluruh spektrum ekonomi. Foto: Hafiz Sohaimi
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) merancang memperkenalkan dua hingga tiga lagi dana modal teroka (VC) baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Anas Hasan Aziz berkata, dana yang akan diwujudkan melalui kerjasama rakan korporat tempatan dan pelabur asing itu memberi fokus kepada teknologi hijau dan aspek berkaitan teknologi.

“Kami kini sedang dalam perbincangan ke arah merealisasikan kewujudan dana itu dengan dana berkaitan teknologi hijau bakal diperkenalkan dalam suku ketiga tahun ini manakala dana yang lain menjelang sebelum hujung tahun ini,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Mavcap adalah syarikat dana modal teroka (VC) di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2001 bertujuan membangunkan ekosistem teknologi di negara ini melalui pelaburan ke atas syarikat pemula teknologi berpotensi tempatan dan serantau.

Syarikat ini memberi fokus kepada syarikat dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri pertumbuhan tinggi dengan pelaburan secara langsung atau pelaburan secara kerjasama dengan rakan VC.

Pada masa ini, syarikat itu memiliki lapan dana iaitu ECM Straits Fund 1, Gobi Fund III, 500 Durians, Dana Superseed Asean Gobi Mavcap, Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF), Dana Pertumbuhan Meranti Asean, Dana Teknologi Hijau Asia dan Vynn Capital.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Shahril berkata, pihaknya optimis akan terus mencatatkan peningkatan nilai pelaburan portfolio atau syarikat di bawah dana ditawarkan seperti Dana Gobi.

Menurutnya, keyakinan itu juga berdasarkan jangkaan keuntungan belum direalisasikan dan diumumkan bagi tahun lalu yang menyaksikan nilai syarikat yang dilabur mencatatkan peningkatan berbanding 2017.

“Secara lazimnya, pelaburan portfolio akan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun dan kami sebagai pelabur lebih cenderung untuk menawarkan dana melalui kerjasama dengan pelabur asing dan pihak korporat tempatan untuk melabur dalam syarikat berpotensi tinggi kerajaan,” katanya.

Setakat ini, Mavcap melakukan pelaburan terhadap syarikat yang merentasi keseluruhan spektrum ekonomi membabitkan sebanyak 67 portfolio atau syarikat seperti Grab dalam sektor perkhidmatan e-hailing, Fashion Valet (jenama fesyen atas talian) dan Easy Parcel (pasaran perkhidmatan kurier atas talian).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 10:02 AM