BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi pembiayanya, Cradle Fund Sdn Bhd menawarkan peruntukan geran di bawah program CIP Spark dan CIP Sprint berjumlah RM14 juta pada tahun ini bagi menyokong pewujudan syarikat pemula niaga tempatan.

Menterinya Chang Lih Kang berkata, geran bersyarat itu telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan misi menyokong perkembangan holistik dan pengkomersialan pemula niaga melalui pelbagai servis nilai tambah untuk mempersiapkan dan menyediakan mereka dengan pembangunan model perniagaan, penerimaan dan akses pasaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung peruntukan geran-geran yang ditawarkan kementerian pada tahun ini bagi membantu syarikat pemula niaga tempatan.

Chang berkata sejumlah RM947 juta pelaburan keseluruhan dana-dana modal teroka Malaysia Venture Capital Managemenet Bhd (MAVCAP), sebuah agensi modal di bawah MOSTI telah dibuat ke dalam 265 syarikat pemula niaga tempatan sejak tahun 2016 hingga sekarang.

MAVCAP menyediakan pembiayaan berbentuk ekuiti kepada syarikat pemula niaga daripada peringkat permulaan sehingga ke peringkat perkembangan dalam pelbagai bidang termasuklah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi hijau, teknologi baharu, teknologi kewangan (fintech) dan kecerdasan buatan (AI).

Terdahulu, Chang berkata, MOSTI mengenalpasti enam syarikat pemula tempatan yang meliputi bidang-bidang seperti e-dagang, bio-perubatan, robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan perbankan yang berpotensi menjadi syarikat 'Unicorn.'

Unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih AS$1 bilion (RM4.51 bilion).

"Enam syarikat tersebut berjaya melepasi cabaran dalam peringkat perkembangan awal dan berpotensi tinggi untuk menjadi syarikat pemula niaga berstatus Unicorn yang digelar sebagai 'Soonicorn'

"Ketika ini hanya terdapat satu syarikat Malaysia berstatus Unicorn iaitu Carsome," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai usaha kementerian untuk membantu lebih banyak syarikat pemula niaga supaya mereka dapat berjaya dan melahirkan lebih banyak syarikat Unicorn yang boleh dibanggakan di Malaysia, Chang berkata MOSTI telah membangun dan melancarkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 pada 18 November 2021.

"Ini seiring dengan dasar dan inisiatif semasa kerajaan bertujuan untuk menjana inovasi berteknologi tinggi, pembangunan saksama buat masyarakat dan membina negara berkeusahawanan menjelang tahun 2030," tambahnya.

Beliau berkata melalui agensi pelaksana SUPER iaitu Cradle Fund, sebanyak 5,750 syarikat pemula niaga dan individu telah menerima manfaat daripada program-program yang dilaksanakan.

"MYStartup portal, sebuah portal sehenti bagi ekosistem startup negara telah dibangunkan seiring dengan aspirasi SUPER 2021- 2030 bagi menjadi pangkalan data dan menghubungkan pemain ekosistem startup Malaysia.

"Sehingga kini portal tersebut telah mempunyai sebanyak 4,300 pengguna berdaftar, menyenaraikan hampir 3,000 syarikat startup, 500 pelabur tempatan dan luar negara serta 140 organisasi penyedia perkhidmatan, insentif dan program," katanya.

Chang berkata dalam usaha membantu startup tempatan berkembang, MOSTI melalui agensi pembiaya seperti Cradle Fund, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), MAVCAP, Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan Malaysia Debt Ventures (MDV) turut menyediakan insentif pembiayaan dan pendanaan bagi syarikat-syarikat pemula niaga dariadapa peringkat pembiayaan awal sehingga ke peringkat selanjutnya.

"Sebanyak 144 syarikat startup telah berjaya dibantu melalui inisiatif pendanaan tersebut pada tahun 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 1:35 PM