NAJMUDDIN
NAJMUDDIN
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Invest), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad menjangkakan mampu mencapai sasaran RM1 bilion bagi nilai aset dalam pengurusannya (AUM) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, pada masa ini BIMB Invest sudah menguruskan pelaburan bernilai kira-kira RM810 juta merangkumi ekuiti, sukuk dan tunai dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul 21.83 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kami memiliki keupayaan untuk berkembang dan pada masa sama meraih keyakinan pengguna terhadap dana Islamik kami,” katanya pada pelancaran dana BIMB- Arabesque i Global Dividen Fund Global 1 di sini, semalam.

Dana itu adalah dana ekuiti global pelbagai mata wang patuh syariah dan persekitaran, sosial serta tadbir urus (ESG) pertama di Malaysia dengan kerjasama pengurus aset global, Arabesque Asset Management Holding Ltd, United Kingdom (Arabesque).

Beliau berkata, syarikat menyasarkan pertumbuhan sebanyak 40 peratus bagi AUM pada tahun depan di mana ia akan dipacu melalui segmen runcit dan institusi serta dana Arabesque.

“Untuk tahun depan, kami merancang untuk memperkenalkan dua lagi dana dengan kerjasama Arabesque serta sedang mendapatkan mandat daripada institusi tertentu untuk memacu lagi pertumbuhan,” katanya.

Pada masa sama, dana BIMB-Arabesque i Global Dividen Fund 1 itu disasarkan kepada pelabur korporat dan individu yang ingin mencari pendapatan tahunan dan mempelbagaikan pelaburan di luar negara dengan kos paling efektif di mana pelabur boleh memilih untuk melanggan dana dalam Ringgit Malaysia dan dolar Amerika Syarikat.

Najmuddin berkata, dana itu bermatlamat bagi menyediakan sasaran enam peratus pembayaran pendapatan tahunan dan pertumbuhan modal mampan bagi prestasi pelaburan jangka panjang melalui teknologi pengurusan pelaburan baru dan canggih yang disediakan Arabesque.

“Dana ini ditawarkan untuk langganan dalam Ringgit Malaysia dan Dolar Amerika Syarikat pada kadar RM0.50 dan AS$0.50 seunit selama 45 hari semasa tempoh tawaran permulaan dari 5 November hingga 19 Disember 2015 dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM30,000 atau AS$10,000.

“Selain itu, dana ini menawarkan perlindungan Takaful (TPD) percuma sehingga RM100,000 bertujuan menyediakan perlindungan tambahan kepada keseluruhan nilai portfolio pelabur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:32 AM