ISMAIL Sabri (tengah) bersama Pengerusi Penjana Kapital, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim (kiri) dan Pengasas AC Ventures, Pandu Sjahrir.
ISMAIL Sabri (tengah) bersama Pengerusi Penjana Kapital, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim (kiri) dan Pengasas AC Ventures, Pandu Sjahrir.

SYARIKAT pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai AS$1.0 trilion berikutan pemeteraian perjanjian antara Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) dan AC Ventures, firma pelaburan modal teroka terkemuka di Indonesia. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, kerajaan mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menjalinkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia.

"Pelaburan ini amat penting untuk merangsang ekosistem industri di negara kita dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia, pasaran pengguna terbesar di rantau Asia Tenggara," katanya.

Penjana Kapital ditubuhkan pada 2020 sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Malaysia untuk memangkin pertumbuhan syarikat pemula niaga inovatif sementara AC Ventures sebuah firma pelaburan modal teroka yang memberi fokus kepada rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tengku Zafrul menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama itu pada lawatan rasmi Perdana Menteri selama empat hari ke Jakarta.

AC Ventures adalah satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang terpilih di bawah Program Dana Penjana Nasional, program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.

AC Ventures bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur dalam satu dana Dana Penjana Nasional iaitu SEA Frontier Fund yang memberi fokus kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk antara lainnya, menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau.

Dengan hampir 100 syarikat dalam portfolionya, AC Ventures melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.

Melalui pelaburan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula niaga ingin menjalankan perniagaan merentas sempadan serantau.

Dana SEA Frontier Fund juga meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk sebuah syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan.

Ia kini mempunyai dana sebanyak RM200 juta dan menyasarkan untuk meraih pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta dalam masa tiga bulan akan datang

Penjana Kapital melihat peluang bagi syarikat pemula niaga Malaysia dalam beberapa sektor yang dikenal pasti di bawah kerangka 'Making Indonesia 4.0' seperti sektor automotif, pertanian dan makanan serta kesihatan.

Dana Penjana Nasional ini mengumpul RM995.4 juta untuk lapan dana modal teroka setakat Oktober 2021, berdasarkan padanan 1:1 dana oleh Kementerian Kewangan.

Daripada jumlah itu, RM562.7 juta merupakan modal pelabur asing dan swasta tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:50 AM