KEDIAMAN mampu milik untuk rakyat Malaysia adalah pada harga RM165,060 pada 2014. FOTO Eizairi Shamsudin
KEDIAMAN mampu milik untuk rakyat Malaysia adalah pada harga RM165,060 pada 2014. FOTO Eizairi Shamsudin
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Tahap kemampuan untuk memiliki rumah terus merosot dan tidak menunjukkan sebarang pemulihan yang ketara bagi tempoh 2002 hingga 2016 berpunca daripada penawaran rumah yang tidak seiring dengan permintaan.

Perkara itu adalah berdasarkan laporan kajian bertajuk Rethinking Housing: Between State, Market and Society yang memberi gambaran mengenai sektor perumahan negara dan terbitan penyelidikan diketuai oleh Pengarah Penyelidikan KRI, Dr Suraya Ismail.

Suraya berkata, antara tempoh berkenaan, tahap pemilikan rumah semakin bertambah buruk bagi semua negeri dan bagi kebanyakan negeri, kemerosotan paling ketara adalah antara 2012 dan 2014.

Beliau berkata, Negeri Sembilan dan Johor adalah antara negeri dalam kategori tidak mampu yang kritikal apabila median harga rumah masing-masing meningkat sebanyak 36.5 peratus dan 26.2 peratus sepanjang tempoh yang dinyatakan.

Katanya, sebagai perbandingan, median pendapatan di negeri berkenaan juga meningkat dengan ketara masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 17.7 peratus dalam tempoh sama.

“Pada 2016, kadar kemampuan pemilikan rumah menjadi semakin baik bagi Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor yang menyaksikan sedikit penurunan dalam pengiraan median kemampuan pembeli di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, pasaran perumahan di negeri berkenaan boleh dikelaskan sebagai sangat tidak boleh dibeli dan ketidakmampuan yang serius,” katanya ketika membentangkan kajian itu di sini, semalam.

Menurutnya, situasi ketidakmampuan perumahan di negeri terbabit sebahagiannya berpunca daripada tindak balas daripada bekalan kepada permintaan rumah yang efektif.

Katanya, berdasarkan median pasaran untuk tiga harga rumah pada 2014, rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia adalah pada harga RM165,060 dan jumlah ini menjadi RM188,208 pada 2016.

Malah, katanya, dalam kajian itu, terdapat kurang 20 peratus daripada unit yang dilancarkan pada 2014 hingga 2016 berharga kurang daripada RM200,000.

Selain itu, menurut penyelidikan sama, ia turut menyatakan pelancaran projek hartanah baru khususnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 2016 kebanyakannya lebih terarah kepada hartanah mewah meskipun ia tidak selari dengan pendapatan populasi setempat.

Semua projek hartanah yang dilancarkan pada 2016 di Pulau Pinang adalah melebihi harga RM250,000 manakala, projek baru pula dianggarkan berharga sekitar RM500,000 sehingga RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:32 AM