PEMBELI  hartanah kediaman sekunder mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan kehendak untuk membeli hartanah yang lebih bernilai.
PEMBELI hartanah kediaman sekunder mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan kehendak untuk membeli hartanah yang lebih bernilai.

HARGA transaksi median dan nilai harga median kaki persegi (kps) hartanah kediaman sekunder pada 2021 meningkat berbanding angka yang dicatat pada tempoh prapandemik 2018.

Menurut iProperty.com.my harga transaksi median bagi hartanah kediaman sekunder meningkat sebanyak 11.1 peratus dari RM315,000 pada 2018 kepada RM350,000 (2021) manakala nilai median kps meningkat sebanyak 6.3 peratus dari RM215.41 (2018) kepada RM228.91 (2021). Namun, jumlah transaksi pada 2021 (124,996) masih di bawah angka dicatat pada 2018 (137,128).

"Ini menunjukkan bahawa harga transaksi median dan nilai median kps lebih tinggi tidak semestinya bersamaan dengan peningkatan jumlah transaksi," kata portal hartanah berkenaan.

Menurutnya, data transaksi hartanah kediaman sekunder yang dikumpul pada 2018 dan 2021 mempamerkan angka harga untuk rumah bertanah (rumah teres, banglo dan rumah berkembar) dan hartanah bertingkat tinggi (flat, kondominium/apartmen dan apartmen servis) merentas empat negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, harga transaksi median dan nilai median kps bagi hartanah kediaman sekunder bukan sahaja pulih daripada tahap prapandemik, tetapi meningkat pada 2021 berbanding 2018.

"Pergerakan harga yang menaik pada 2021 boleh dikaitkan dengan sentimen pengguna yang bertambah baik selepas kejayaan program vaksinasi Malaysia dan kelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur.

"Kami kini melihat keyakinan yang lebih tinggi mengalir ke dalam pasaran hartanah dengan penambahbaikan dalam poket tertentu pasaran kediaman sekunder, menghidupkan semula rancangan pemilikan rumah untuk sesetengah orang," katanya.

Menurutnya, harga median yang terus meningkat pada 2021 dan jumlah transaksi menurun boleh menunjukkan bahawa pembeli hartanah kediaman sekunder mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan kehendak untuk membeli hartanah yang lebih bernilai.

"Gabungan kadar faedah rendah, harga hartanah rendah, dan pengecualian duti setem ke atas memorandum dokumen pemindahan (MOT) dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah pertama memberikan keadaan yang sesuai untuk pembeli untuk memasuki pasaran hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 7:00 AM