GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

RAKYAT Malaysia tidak mampu untuk mengikuti Panduan Perbelanjaan Belanjawanku yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berikutan pendapatan rendah dan kos perumahan yang tinggi, menurut laman web perbandingan kewangan, iMoney.

iMoney telah menjalankan Kaji Selidik Bajet Bulanan 2019 membabitkan 1,000 responden di Lembah Klang untuk meninjau sama ada garis panduan itu sepadan dengan kos hidup sebenar di Malaysia.

Menurut kajiselidik itu, terdapat dua percanggahan dalam panduan Belanjawanku yang sukar dipenuhi oleh golongan bujang.

Orang bujang membelanjakan lebih 360 peratus untuk perumahan, manakala bajet yang disyorkan tidak sepadan dengan pendapatan median untuk orang bujang menyebabkan rakyat Malaysia membuat pinjaman peribadi untuk menyelesaikan masalah itu, kata iMoney.

“Panduan Belanjawanku mencadangkan orang bujang membelanjakan RM300 untuk perumahan, tetapi kajian itu mendapati bahawa purata orang bujang membelanjakan kira-kira RM1,100 setiap bulan untuk perumahan, menyebabkan bajet bulanan mereka naik lebih 360 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rumah di Malaysia semakin tidak mampu dimiliki, harga pasaran purata hartanah pada RM372,801 manakala, pendapatan isi rumah median tahunan hanya RM188,208, katanya, sambil menegaskan rumah hanya dianggap berpatutan jika harga rumah median adalah kurang daripada tiga kali pendapatan tahunan isi rumah median.

Walaupun menurut panduan Belanjawanku, gaji median untuk perseorangan adalah kira-kira RM2,650 di Kuala Lumpur, kaji selidik iMoney mendapati individu bujang yang memiliki kereta membelanjakan sejumlah RM2,695, tanpa mengambil kira perbelanjaan untuk penjagaan diri, perbelanjaan dan simpanan tahunan.

“Untuk menampung kos kehidupan sebenar, rakyat Malaysia semakin bergantung pada pinjaman peribadi.

Berdasarkan data dalaman dan tinjauan pengguna iMoney, terdapat kenaikan mendadak permohonan pinjaman peribadi antara 2016 dan 2018 dengan kenaikan 370 peratus menjelang akhir 2018,” katanya.

Sebanyak 36 peratus permohonan dibuat untuk pembiayaan semula dan penyatuan hutang peribadi, menunjukkan terdapat sejumlah besar rakyat Malaysia yang masih bergelut dengan hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mitul Lakhani berkata, peningkatan jumlah permohonan pinjaman peribadi, serta kegagalan bayaran pembiayaan peribadi, menunjukkan rakyat Malaysia berdepan cabaran untuk mengekalkan tahap kewangan yang baik.

Beliau berkata, terdapat keperluan penting untuk meningkatkan literasi kewangan, bukan sahaja dengan menyediakan lebih banyak kandungan pendidikan dan bengkel, malah memastikan terdapat kemudahan seperti laporan skor kredit dan perundingan yang membantu membuat keputusan yang lebih baik dalam hal kewangan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 6:45 PM