Aplikasi Belanjawanku ini dicipta khusus bukan hanya bagi merancang kewangan tetapi turut sebagai panduan kepada pengguna untuk berbelanja secara berhemah. - FOTO Hiasan
Aplikasi Belanjawanku ini dicipta khusus bukan hanya bagi merancang kewangan tetapi turut sebagai panduan kepada pengguna untuk berbelanja secara berhemah. - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

PENGURUSAN kewangan amat penting bagi memastikan individu dapat menguruskan perbelanjaan dengan baik bagi mengelak daripada terbabit dalam kancah hutang.

Berdasarkan data dari Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, yang dibangunkan oleh Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) menunjukkan 47 peratus individu menghadapi kesukaran untuk memperuntukkan RM1,000 bagi kegunaan kecemasan.

Data sama yang membabitkan sebanyak 3,007 responden turut membuktikan satu dari 10 rakyat Malaysia mempercayai bahawa mereka tidak berdisiplin dalam menguruskan kewangan.

Oleh itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, mengambil inisiatif melancarkan panduan dan aplikasi mobil Belanjawanku.

Mula diperkenalkan pada 2019 untuk penduduk Lembah Klang, panduan Belanjawanku ini diperluaskan di 11 lagi bandar utama di seluruh negara.

Ia diwujudkan sebagai panduan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan bagi isi rumah berbeza.  

Pengarah SWRC Profesor Datuk Dr Norma Mansor berkata, idea asal untuk mewujudkan panduan dan aplikasi Belanjawanku itu tercetus apabila ramai di kalangan individu dan keluarga di Malaysia menghadapi kesukaran dalam merancang kewangan mereka dengan baik dan berkesan.

"Antaranya adalah seperti tahap celik kewangan yang rendah dan peningkatan kos sara hidup sebagai penyebab utama rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang rendah, hutang yang tinggi dan kebankrapan di kalangan belia," katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2019 hingga Mei 2023, sebanyak 34,480 kes kebankrapan dicatatkan dan daripada jumlah ini, 57 peratus terdiri daripada golongan muda yang berumur 25 hingga 44 tahun.

Antara punca utama yang menyumbang kepada kebankrapan adalah pinjaman peribadi (49 peratus), pinjaman perniagaan (17 peratus) dan sewa beli kenderaan (11 peratus).

Dengan Belanjawanku, golongan belia boleh menggunakannya sebagai panduan dalam merancang perbelanjaan dengan bijak tanpa dibebani hutang serta dapat membuat keputusan kewangan dengan lebih baik, terutamanya yang membabitkan perbelanjaan yang besar seperti membeli kereta, rumah dan berkahwin.

Norma turut berkongsi cabaran utama menghasilkan aplikasi Belanjawanku ini adalah untuk memastikan ia dilengkapi ciri-ciri menarik, mesra pengguna serta tidak terlalu kompleks.

Aplikasi Belanjawanku ini dicipta khusus bukan hanya bagi merancang kewangan tetapi turut sebagai panduan kepada pengguna untuk berbelanja secara berhemah.  

Selain merekod dan memantau perbelanjaan pengguna, antara ciri istimewa lain yang diperkenalkan dalam aplikasi Belanjawanku ini adalah cadangan perbelanjaan sesuai mengikut kategori dengan tujuan untuk mencapai taraf hidup sejahtera.

Bukan itu saja, pengguna akan diberikan peringatan sekiranya perbelanjaan sebenar melebihi panduan yang dicadangkan dalam aplikasi Belanjawanku.

Ini membolehkan pengguna lebih peka dalam merancang kewangan mereka serta dapat mengurus aliran hutang mereka dengan lebih baik dari semasa ke semasa.

Panduan ini juga turut membolehkan pengguna untuk mengisi maklumat simpanan yang juga merupakan elemen penting untuk persaraan serta menghadapi situasi luar jangka.

Selain itu, Norma berkata aplikasi Belanjawanku ini turut memberikan panduan dan maklumat kewangan yang membolehkan pengguna menambah pengetahuan yang lebih baik dalam merancang kewangan seperti tips untuk membeli kereta dan rumah berdasarkan kemampuan.

"Di sinilah Belanjawanku memainkan peranan sebagai panduan untuk perancangan kewangan dan pengurusan hutang individu, selain mengesyorkan jumlah simpanan untuk kegunaan masa depan dan dalam situasi yang belum pernah berlaku," katanya.

Melalui panduan perbelanjaan ini, rakyat akan lebih cakna terhadap kepentingan untuk merancang kewangan dengan baik mengikut kemampuan mereka demi mencapai kesejahteraan kewangan dalam menghadapi situasi cabaran ekonomi serta sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 10:38 AM