KAKITANGAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nur Izzati Zainal 26, dan Roszianawati Abdul Wahid 36, melihat kandungan buku Belanjawanku. FOTO/AIZUDDIN SAAD
KAKITANGAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nur Izzati Zainal 26, dan Roszianawati Abdul Wahid 36, melihat kandungan buku Belanjawanku. FOTO/AIZUDDIN SAAD
Nabil Basaruddin


INDIVIDU bujang yang menggunakan pengangkutan awam dan tinggal di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,870 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, bagi individu bujang yang memiliki kenderaan sendiri, golongan ini perlu berbelanja sekitar RM2,490 sebulan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di lokasi yang sama.

Anggaran belanja berkenaan termasuklah makanan, rumah, kesihatan, pengangkutan, utiliti, simpanan, penjagaan diri, belanja tahunan, aktiviti sosial dan belanja lain serta penjagaan kanak-kanak bagi pasangan berkahwin.

Menurut Buku Panduan Belanjawanku yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, ia adalah perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap isi rumah bagi taraf hidup yang selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, ia bukanlah preskripsi dalam menyelesaikan masalah sebaliknya bertindak sebagai panduan belanjawan secara menyeluruh.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Katanya, dalam Belanjawanku, taraf hidup yang munasabah merangkumi wang yang mencukupi bagi memenuhi keperluan asas, terbabit dengan aktiviti komuniti seperti keluarga dan rakan serta mempunyai tujuan hidup yang bermakna.

“Pasangan berkahwin tanpa anak kira-kira RM4,420 diperlukan manakala pasangan berkahwin dengan seorang dan dua anak pula masing-masing perlu memperuntukkan sehingga RM5,730 dan RM6,620 sebulan.

“Selain itu, bagi pasangan warga emas yang berada di Lembah Klang pula perlu mempunyai belanjawan sebanyak RM3,090 pada setiap bulan bagi menampung kehidupan seharian di kota raya,” katanya.

Tambah Alizakri, tujuan Belajawanku diwujudkan adalah bagi mengatasi masalah tahap celik kewangan yang rendah, peningkatan kos sara hidup dan hutang yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Wang ringgit adalah komponen utama ekonomi dan kami yakin ia boleh menjadi rujukan asas dan praktikal dalam pengurusan perbelanjaan,” katanya.

Buku Panduan Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP atau mana-mana kaunter KWSP di Lembah Klang.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

TAK WAJAR TINGKAT PERATUS SUMBANGAN KEPADA KWSP

Kajian mendalam perlu dijalankan ke atas gaji dan upah pekerja di negara ini dengan me- ngambil kira aspek kos sara hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP,) Tunku Alizakri Alias berkata, kerajaan perlu meneliti perkara ini selari dengan peningkatan kos sara hidup.

“Pada masa ini, tidak wajar jika ditingkatkan peratusan sumbangan kepada KWSP melainkan mengkaji kesesuaian tahap upah dan gaji pekerja
di Malaysia.

“Peratus sumbangan 11 hingga 12 peratus oleh majikan dan pekerja ke dalam KSWP antara yang kelima tertinggi di dunia.

“Jika jumlah peratusan itu terus ditambah, ia akan memberikan lebih implikasi kepada pekerja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu&Keluarga di Malaysia di sini, semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman.

Alizakri berkata, peningkatan jumlah caruman itu akan memberi impak terhadap pekerja dari segi perbelanjaan mereka manakala bagi majikan ialah membabitkan kos menjalankan perniagaan.

“Isu seumpama ini sangat sensitif. Saya tidak akan mengesyorkan peningkatan sumbangan (caruman) pada kadar segera, sebaliknya mencadangkan kajian lebih lanjut perlu dilaksanakan sebelum sesuatu tindakan dapat diambil,” katanya.

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bersama Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman (dua dari kanan), Ketua Pengarah Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias (kiri), Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim (dua dari kiri) dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr Norma Mansor (kanan) menunjukkan buku Belanjawanku pada Majlis Pelancaran Belanjawanku. FOTO/AIZUDDIN SAAD
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) bersama Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman (dua dari kanan), Ketua Pengarah Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias (kiri), Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim (dua dari kiri) dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr Norma Mansor (kanan) menunjukkan buku Belanjawanku pada Majlis Pelancaran Belanjawanku. FOTO/AIZUDDIN SAAD

CADANG INDEKS TENTU KENAIKAN GAJI MUNASABAH

Kerajaan akan mencadangkan satu indeks pengukur kos sara hidup bagi menentukan kenaikan gaji lebih munasabah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kaedah pengukuran menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diguna pakai masa ini tidak mencukupi untuk menentukan kenaikan gaji sebenar yang diperlukan rakyat.

“Kita memerlukan satu indeks pengukur lain untuk menunjukkan peningkatan kos sara hidup yang berbeza, bukannya seperti IHP yang memasukkan semua perkara.

“Saya akan mencadangkan perkara ini kepada Bank Negara Malaysia atau mungkin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengadakan satu perbandingan dan model berhubung cadangan indeks berkenaan.

“Dengan adanya kayu ukur atau indeks sedemikian, kita boleh kongsikan dengan setiap majikan di negara ini dan ia bermanfaat kepada pekerja” katanya ketika berucap pada pelancaran Belanjawanku - Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga di Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman.

Beliau berkata, indeks berkenaan akan menentukan kenaikan gaji pekerja dan boleh dijadikan titik rujukan lebih tepat, adil dan saksama untuk 15 juta pekerja di Malaysia.

“Menerusi indeks itu, ia juga membantu kita mencapai aspirasi untuk satu kadar gaji yang membolehkan seseorang menyertai aktiviti masyarakat dan keperluan kehidupan mereka,” katanya.

Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang rendah iaitu 0.7 peratus pada Januari 2019 dan kos sara hidup masih lagi membebankan sesetengah golongan masyarakat.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Lim berkata, berdasarkan kajian S&P Global Literacy Financial pada 2014 melaporkan tahap kecelikan kewangan di Malaysia hanya berada pada tahap 36 peratus berbanding sekitar 59 peratus di negara maju.

“Kadar kecelikan kewangan yang rendah antara faktor menyumbang kepada tahap keberhutangan tinggi serta masalah kebankrapan yang membimbangkan di kalangan belia.

“Antara 2013 dan 2017, 100,610 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis, dan 60 peratus daripada mereka berusia dari 18 hingga 44 tahun,” katanya.

Justeru katanya, panduan Belanjawanku memudahkan orang ramai memahami corak perbelanjaan dan penggunaan isi rumah yang mungkin kompleks.

“Belanjawanku juga boleh membantu kita memahami kuasa membeli serta pemarkahan kredit peribadi dengan mendalam.

“Bagi pembuat dasar pula, ia boleh dijadikan panduan untuk mengkaji garis kemiskinan sambil mereka mekanisme bantuan pendapatan bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:00 AM