RAJA Kamarul Bahrin Shah
RAJA Kamarul Bahrin Shah
Alzahrin Alias dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah Malaysia memerlukan pelbagai inovatif baru dan pembabitan menyeluruh pemain industri hartanah dalam usaha mengurangkan kos pembinaan hartanah di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, itu antara isu utama yang diberi penekanan oleh kementeriannya selain langkah meningkatkan bilangan perumahan mampu milik serta peningkatan dasar serta rangka kerja pengawalseliaan.

“Semua pihak harus bersikap terbuka dan berubah dari kaedah sebelum ini (ketika di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional) bersama membantu kerajaan dalam melaksanakan inovatif dan kaedah teknologi baru dalam menangani pelbagai isu dan cabaran serta mewujudkan industri perumahan yang kompetitif dan mapan.

“Kita tidak boleh capai penurunan harga jika pihak lain tidak mempunyai sikap sama dan bersama membantu merealisasikan hasrat kerajaan ini.

“Inovasi baru seperti rekaan dan penggunaan sepenuhnya tanah dilihat dapat membantu mengatasi beberapa masalah termasuk harga jualan.

“Kerajaan mempunyai komitmen dalam pasaran hartanah seperti pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi bahan asas pembinaan dan kos bahan binaan.

“Namun pengecualian cukai ini bukanlah faktor penentu penurunan harga hartanah kerana banyak kos lain yang masih dikenakan daripada pihak yang lain,” katanya selepas pelancaran pameran My.HSE Malaysia Future Housing di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:16 AM