DARI kiri, Ketua Pegawai Kewangan Paramount Corporation, Foong Poh Seng, Pengerusi & Pengarah Eksekutif, Datuk Teo Chiang Quan dan Chew pada taklimat prestasi enam bulan pertama dan unjuran separuh kedua 2018 Paramount, semalam.
DARI kiri, Ketua Pegawai Kewangan Paramount Corporation, Foong Poh Seng, Pengerusi & Pengarah Eksekutif, Datuk Teo Chiang Quan dan Chew pada taklimat prestasi enam bulan pertama dan unjuran separuh kedua 2018 Paramount, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin

Petaling Jaya: Paramount Corporation Bhd (Paramount) menjangkakan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan depan akan menyaksikan harga hartanah yang dimajukan syarikat berkenaan susut sekitar dua hingga tiga peratus.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Jeffrey Chew Sun Teong, berkata pengurangan harga yang tidak ketara itu disebabkan penurunan kos bahan pembinaan sekitar satu hingga dua peratus berikutan pengecualian SST yang diumumkan kerajaan.

“Setiap projek membabitkan kos pembinaan sekitar 50 peratus, manakala selebihnya adalah kos pemilikan tanah, perundingan dan pelbagai lagi input.

“Daripada jumlah itu, hanya 15 peratus kos pembinaan dikecualikan cukai di mana, ia mencerminkan pengurangan kos pembinaan keseluruhan sehingga dua peratus.

“Dengan pengurangan kos ini, kami dapat mengurangkan harga hartanah, tetapi tidak banyak iaitu sehingga tiga peratus,” katanya kepada media selepas taklimat prestasi enam bulan pertama dan unjuran separuh kedua 2018 Paramount di sini, semalam.

Jeffrey berkata, penurunan harga kediaman juga amat berkait rapat dengan jenis projek dan lokasi di mana Paramount mungkin menyerap kos SST atau mengembalikan kepada pembeli.

“Kita akan melihat keperluan sama ada menyerap kos SST atau pembeli perlu menanggung cukai berkenaan.

“ Ia bergantung kepada jenis projek dan lokasi. Secara puratanya, pelaksanaan SST akan menyaksikan harga hartanah susut sehingga tiga peratus,” katanya.

Mengenai prospek separuh kedua tahun ini, beliau berkata, Paramount berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1 bilion setahun penuh dipacu pelancaran baru membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion sepanjang baki 2018.

“Separuh pertama, kami meraih jualan RM598 juta dengan pelancaran projek babitkan GDV RM708 juta. Kita menjangkakan pelancaran baru merangkumi projek Suasana Tower 2, fasa II Keranji dan pembangunan komersial di Atwater akan memberikan momentum jualan yang positif kepada syarikat.

“Peningkatan jualan belum dibilkan setakat 30 Jun 2018 kepada RM866 juta daripada RM736 juta setakat suku pertama tahun ini akan menyumbang kepada prestasi masa depan yang positif,” tambahnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Paramount mencatat pendapatan RM440.6 juta, yang mana 68 peratus atau RM301.3 juta disumbangkan oleh portfolio hartanah, manakala baki 32 peratus atau RM139.3 juta daripada portfolio pendidikan.

Ia lebih tinggi 31 peratus daripada RM336.5 juta yang dicatatkan bagi tempoh enam bulan pertama 2017.

Ketika ini, Paramount memiliki simpanan tanah berkeluasan 41.3 hektar yang sedang dan akan dimajukan sehingga 2027 membabitkan anggaran GDV berjumlah RM7.57 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:42 PM