PENGUNJUNG MyRumah melihat model rumah dibangunkan pemaju.
PENGUNJUNG MyRumah melihat model rumah dibangunkan pemaju.
Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Tahun 2016 dilihat sebagai peluang terbaik kepada orang ramai untuk memiliki hartanah atau rumah kediaman ekoran prospek industri yang dijangka mengalami trend menurun dan mendatar pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPL International Sdn Bhd, Siva Shanker berkata, harga rumah juga diramalkan mengalami penurunan sebanyak empat hingga lima peratus, sekali gus membuka ruang kepada golongan muda memiliki rumah pada harga mampu milik.

Menurutnya, lokasi kini bukan lagi menjadi faktor utama dalam pemilihan hartanah sebaliknya trend berkenaan semakin berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan permintaan orang ramai.

“Selain harga rumah yang semakin menurun, orang ramai dinasihatkan membeli rumah pada tahun ini disebabkan faktor kepelbagaian projek rumah yang dibangunkan oleh pemaju.

“Bagaimanapun, ia tidak akan menunjukkan penurunan yang banyak kerana pemaju masih lagi perlu menanggung kos pembinaan yang semakin meningkat seperti harga tanah yang tinggi dan kos pembinaan yang dikenakan caj cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya selepas sesi ceramah bertajuk ‘Prospek Hartanah 2016’ di Pameran Hartanah MyRumah anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata, pada tahun 2017 dan 2018, industri hartanah dijangka kembali pulih seterusnya akan menjadi lebih tinggi berbanding 2015 dan 2016, sekali gus mendorong lebih ramai orang membeli rumah tahun ini.

“Malah, bagi 2019 dan 2020 pula, trend harga rumah lebih tinggi juga dilihat akan muncul kembali seperti yang berlaku tiga hingga empat tahun sebelum 2015,” katanya.

Sementara itu, Siva berkata, untuk memiliki kediaman idaman yang menjanjikan keselesaan kepada pengguna, mereka mungkin perlu memilih rumah yang berada di luar kawasan yang jauh sedikit.

“Hal ini adalah kerana banyak kawasan yang berada dalam radius sehingga 20 kilometer daripada pusat bandar mula menawarkan lebih banyak rumah kediaman yang baik dengan harga mampu milik untuk kumpulan pertengahan di negara ini.

“Mereka juga harus mengambil kira aspek sambungan pembangunan lebuh raya utama yang bakal menghubungkannya dengan kawasan bandar utama dan akses seperti kemudahan pengangkutan awam sebelum membuat keputusan membeli unit kediaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:46 AM