PEMBANGUNAN PPR yang diumumkan dalam pembentangan bajet sebelum ini perlu dikekalkan.
PEMBANGUNAN PPR yang diumumkan dalam pembentangan bajet sebelum ini perlu dikekalkan.
Muhamaad Razis Ismail


Sektor hartanah negara dijangka terus menghadapi tekanan terutama dalam isu pemilikan dan bekalan pasaran hartanah sedia ada dalam pasaran pada tahun ini.

Isu kemampuan pemilikan rumah, peningkatan kos pembinaan, kadar rumah yang tidak terjual dan lambakan hartanah memerlukan tindakan signifikan daripada kerajaan.

Oleh itu, pembentangan Bajet 2023 dijadualkan pada 24 Februari ini dilihat penting untuk merangsang kembali pasaran hartanah.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, cabaran utama dihadapi sektor hartanah ialah peningkatan kos pembinaan dan peningkatan rumah tidak terjual dalam pasaran.

"Pasaran hartanah tidak terkecuali terkesan daripada impak inflasi terutama kos bahan binaan yang meningkat begitu ketara.

"Pemaju tiada pilihan melainkan terpaksa menjual hartanah itu pada harga tinggi dan seterusnya memberi kesan kepada peningkatan rumah tidak terjual dalam pasaran.

"Unjuran kadar inflasi tahun ini tidak memberi isyarat akan menurun dan ia bakal memberi tekanan kepada kos pembinaan," katanya.

Menurutnya, kadar pendapatan isi rumah penduduk di Malaysia tidak seiring peningkatan kos harian rakyat yang kini memberi fokus kepada isu sara hidup seharian dan tidak memikirkan untuk membeli rumah.

"Mereka memilih untuk menyewa berbanding memiliki hartanah sendiri. Ditambah kini, peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pastinya memberi kesan kepada kadar pinjaman yang dikenakan pihak bank pastinya memberi tekanan," katanya.

Justeru itu, beliau berpendapat pembentangan bajet kali ini perlu menggariskan satu langkah jangka panjang yang diperlukan dalam pasaran hartanah yang berdepan dua isu utama iaitu peningkatan kos pembinaan yang menyumbang kepada kenaikan harga hartanah dan berlaku isu jumlah hartanah tidak terjual yang tinggi.

PERLU diwujudkan suatu badan memantau peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga buruh.
PERLU diwujudkan suatu badan memantau peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga buruh.

"Pembaharuan yang mungkin boleh dilaksanakan kerajaan adalah mewujudkan suatu badan yang memantau peningkatan kos bahan binaan yang dilihat tidak terkawal termasuk kekurangan tenaga buruh menyebabkan kos buruh meningkat.

"Saya mencadangkan supaya kerajaan memberikan suatu bentuk insentif atau rebat cukai kepada pemaju, terutama pemaju yang baharu serta pemaju yang melaksanakan projek menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"Kerajaan juga disaran mengetatkan sebarang kelulusan bagi projek perumahan yang baharu supaya isu projek terbengkalai dan tidak terjual dapat dikurangkan. Antara yang syarat yang mungkin boleh dikenakan adalah setiap pemaju memberi bukti kajian kemungkinan (Feasibility study) sesuatu projek," katanya.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara menarik dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada Oktober lalu yang perlu dikekalkan antaranya pengecualian duti setem pada surat cara pindah milik antara ahli keluarga yang hanya dikenakan pada kadar RM10.

"Seterusnya adalah mengekalkan atau menambah baik pengecualian duti setem bagi hartanah ditingkatkan dari 50 peratus kepada 75 peratus untuk harga rumah bernilai RM500,000 sehingga RM1 juta bagi meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah pertama.

"Peruntukan sebelum ini untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak RM367 juta dengan menyasarkan 12,000 unit adalah langkah yang baik dan positif bagi memastikan golongan B40 mampu memiliki rumah.

"Langkah mengekalkan jaminan syarikat kredit perumahan untuk golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap juga perlu diteruskan yang mana sebelum ini sebanyak RM3 billion sudah diperuntukkan," katanya.

Beliau berkata, bajet kali perlu memberi fokus kepada konsep Malaysia Madani yang pastinya berkait rapat dengan isu hartanah iaitu hal asas dalam membentuk masyarakat iaitu kesediaan kerajaan untuk terus menyokong masyarakat memiliki rumahselesa dan harga yang berpatutan.

MASYARAKAT fokus kepada isu sara hidup seharian.
MASYARAKAT fokus kepada isu sara hidup seharian.

"Kerajaan perlu lebih berani membuat keputusan walaupun mungkin tidak popular kepada pihak tertentu. Ketegasan kerajaan dalam menangani isu hartanah dan perumahan dengan lebih serius pastinya akan memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40 dan M40.

"Bajet 2023 perlu dilihat sebagai platform untuk membina keyakinan rakyat dan pelabur mengenai masa depan pasaran hartanah negara," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Sr Ishak Ismail berharap kerajaan mengumumkan beberapa langkah yang dapat merancakkan transaksi hartanah dengan memberi galakan supaya fasa pemulihan ekonomi dapat berjalan lebih pantas.

"Saya berharap kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan Cukai Keuntungan Harta Tanah daripada 30 peratus untuk tiga tahun pertama kepada 20 peratus untuk membantu mereka yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Pada masa sama, Ishak melihat sektor hartanah boleh dirancakkan kembali meneruskan kempen pemilikan rumah yang perlu diperluaskan untuk rumah kategori sekunder (subsale).

"Dalam Bajet 2023 yang akan diumumkan, pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) terus dirancakkan untuk membantu mereka yang bekerja di sektor awam dan swasta yang berada dalam kategori B40 dan MB0 memiliki rumah.

"Selain itu, saya harap kerajaan meneruskan hasrat untuk mewujudkan Akta Penyewaan Kediaman yang dibincangkan beberapa tahun lalu dalam menyelesaikan pertelingkahan dan melindungi kepentingan pemilik rumah serta penyewa," katanya.

Tambahnya, bagi menangani kesan kenaikan bahan binaan yang sukar dikawal, kerajaan boleh mengurangkan impak kos itu dengan mengurangkan kos pematuhan yang terpaksa ditanggung pemaju.

"Langkah ini boleh dilaksanakan dengan mensyaratkan pemaju menurunkan harga rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 7:00 AM