IMPIAN setiap pelajar untuk menyambung pengajian di luar negara.
IMPIAN setiap pelajar untuk menyambung pengajian di luar negara.
MUSIM sejuk antara cabaran cuaca di luar negara.
MUSIM sejuk antara cabaran cuaca di luar negara.
KEJAYAAN yang cemerlang melayakkan pengajian ke luar negara.
KEJAYAAN yang cemerlang melayakkan pengajian ke luar negara.
BIASISWA membantu kewangan pengajian di luar negara.
BIASISWA membantu kewangan pengajian di luar negara.
INSTITUSI pengajian di negara kita juga melahirkan graduan cemerlang.
INSTITUSI pengajian di negara kita juga melahirkan graduan cemerlang.
Fazurawati Che Lah


Suatu ketika dulu, ramai menerima kenyataan belajar di luar negara lebih berprestij berbanding di dalam negara.

Malah kecenderungan pelajar negara ini memilih melanjutkan pelajaran ke luar negara di peringkat ijazah sarjana muda atau lebih tinggi semakin menjadi trend masa kini.

Masing-masing mempunyai alasan tersendiri hingga mendorong untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

Berdasarkan pemerhatian, pelajar institusi pengajian tinggi luar negara memang menerima pelbagai kelebihan.

Malah, kelebihan itu adakalanya diterjemahkan secara keterlaluan hingga menenggelamkan kelebihan pelajar institusi tempatan yang turut mempunyai pencapaian membanggakan.

Oleh itu, ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara apabila tidak mendapat penajaan, padahal sudah banyak institusi pengajian tinggi tempatan tidak kurang hebatnya.

Berkongsi pandangan berkenaan topik itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Afandi Ahmad menjelaskan, kenyataan ini dilihat merujuk kepada tafsiran prestij itu diukur dua faktor utama iaitu populariti ekoran kualitinya yang tersohor dan jaminan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.

Katanya, keadaan itu juga didorong keterbatasan penawaran bidang pengajian serta bilangan universiti yang terhad di Malaysia berbanding bilangan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian.

“Tapi, usaha yang serius untuk meletakkan agenda pendidikan tinggi di Malaysia tersohor dan bertaraf global terus giat diusahakan dan kini jelas menunjukkan prestij itu bukan hanya milik menara gading jauh di seberang laut atau negara empat musim saja.

“Hal ini dibuktikan dengan pelbagai faktor yang menjadi petunjuk jelas, misalnya peningkatan berterusan beberapa universiti dalam aspek penarafan, kejayaan mahasiswa dalam pelbagai acara sama ada di pentas perdebatan atau di gelanggang sukan. Malah kebolehan ahli akademik yang diiktiraf seantero dunia misalnya menerusi cabang penerbitan dan inovasi.

“Tidak cukup dengan itu, jika diukur pula menerusi aspek kebolehpasaran graduan juga, keluaran universiti tempatan kini juga berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lulusan luar negara,” katanya.

Beliau juga menegaskan, adalah tidak benar jika kemasukan pelajar ke institusi luar negara lebih mudah asalkan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri, walaupun ia membabitkan institusi pengajian tinggi swasta.

“Bagi mendapatkan tempat di universiti luar negara juga perlu melepasi syarat tertentu. Wang semata-mata tidak boleh membeli kualiti pendidikan tinggi.

“Jika memilih ke negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, ujian kelayakan juga mesti diambil dan mencapai tahap tertentu yang ditetapkan.

“Ini bukanlah mudah dan kos pendaftaran ujian juga contohnya IELTS dan TOEFL tidaklah murah, malah persediaan yang rapi perlu dilakukan,” katanya.

Secara peribadi, Dr Afandi yang juga alumni kepada UTHM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berbangga dengan kualiti universiti tempatan.

Katanya, biar di mana sekalipun kita belajar, yang paling utama ialah kualiti diri kita sendiri kerana persekitaran hanyalah bonus sahaja.

Jelasnya, usaha memastikan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia bertaraf global direalisasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepemimpinan Datuk Seri Idris Jusoh, bersama semua warga Universiti.

“Semakin hari semakin kuat denyut nadi kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia dirasai.

“Terkini, kebitaraan pendidikan tinggi negara di persada dunia dijelaskan menerusi konsep UMAR bersama naratifnya yang sangat menginspirasikan,” katanya.

Malah modul dan program ditawarkan institusi pengajian tempatana juga setanding dengan institusi luar negara.

“Sudah pasti, kerana semua proses berkaitan hal ehwal akademik misalnya yang bermula dengan pembangunan kurikulum hingga pengiktirafan program, bukanlah dilakukan secara semberono.

“Terdapat pelbagai pihak dan pakar bidang selain penglibatan aktif semua pemegang taruh (seperti alumni dan industri) selain perakuan daripada badan penguat kuasa pematuhan yang memantau semua proses berkaitan mesti diperoleh sebelum ditawarkan.

“Mengambil contoh dalam bidang kejuruteraan misalnya, terdapat Board of Engineers Malaysia (BEM) dan Engineering Accreditation Council (EAC) yang bertanggungjawab melihat secara teliti kualiti program kejuruteraan yang ditawarkan di Malaysia.

“Pendidikan kejuruteraan di Malaysia mencapai penanda aras antarabangsa apabila berjaya mendapat status penandatangan penuh Washington Accord, iaitu perjanjian eksklusif antara badan pengiktirafan pendidikan di peringkat antarabangsa yang turut disertai antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Ireland, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Buktinya, di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) UTHM sendiri, program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian sudah berjaya mendapat pengiktirafan penuh lima tahun untuk graduan 2014 hingga 2018 oleh pihak EAC selain program kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM.

Pengiktirafan ini bermaksud apa yang ditawarkan di Malaysia adalah setanding dan diiktiraf negara maju.

Ini secara langsung membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada graduan Universiti tempatan seiring dengan cabaran globalisasi yang mendesak persaingan tanpa mengira batas geografi serta Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) memerlukan tenaga kerja hebat dalam semua aspek.

Apa yang jelas, katanya buatlah perbandingan, jika bidang itu ada di Malaysia bersama pakarnya, tidaklah perlu ke luar negara.

“Ramai sahaja pakar tempatan yang hebat dan terbukti keunggulannya. Jika bukan kita yang mengiktiraf keupayaan mereka, siapa lagi?

“Bagaimanapun, jika sekiranya bidang yang dipilih itu masih terlalu baru di Malaysia, ini dapat menguatkan alasan kita untuk belajar di luar negara, tapi mestilah diusahakan untuk mendapat tempat di universiti ternama di dunia,” katanya.

Ambil kira pelbagai aspek sebelum ke luar negara

Persediaan sebelum ke luar negara amat penting dengan mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum ke sesebuah negara.

Tak kira ilmu bahasa atau subjek yang bakal dipelajari di sana. Tidak lupa juga ilmu budayanya.

Berkongsi pandangan mengenai persediaan pengajian di luar negara Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM Profesor Madya Dr Afandi Ahmad berkata pelajar perlu menilai pelbagai aspek antaranya kos pengajian di luar negara yang jauh lebih tinggi mesti dihargai sebaik-baiknya dan tidak boleh dipandang remeh.

“Persiapan yang rapi mesti dilakukan supaya pelaburan untuk mendapatkan kelulusan daripada universiti di luar negara berbaloi.

“Aspek fizikal juga penting kerana berada di luar negara tentunya berhadapan perubahan empat musim walaupun kelihatan menyeronokkan adalah satu cabaran.

“Ketidaksediaan fizikal dibimbangi membawa mudarat kepada kesihatan yang akhirnya menjejaskan tumpuan terhadap pengajian,” katanya.

Kekuatan mental juga mesti diberikan perhatian yang serius. Berada jauh daripada keluarga sangat menduga, misalnya apabila diuji masalah kesihatan, masalah rakan sekeliling, masalah pengajian atau jika diuji dengan kehilangan orang yang tersayang jauh di Malaysia.

“Peranan rakan terdekat juga sangat penting untuk mendepani cabaran emosi seperti ini.

“Kompetensi bahasa juga tidak boleh dipandang ringan walaupun bagi yang memilih untuk ke negara yang menggunakan bahasa Inggeris,” katanya yang mengingatkan sikap kera sumbang perlu dielakkan.

Menerusi kemahiran sosial yang tinggi, tentunya dapat menimba lebih banyak pengalaman dalam menganalisa perbezaan budaya sesebuah negara.

Keupayaan intelektual yang tinggi juga perkara yang serius. Misalnya bagi yang memilih pengajian dalam bidang sains dan teknologi, asas sains serta matematik mesti dipastikan mantap.

“Ini bagi mengelakkan kita tercicir di dalam pengajian yang rata-rata begitu pantas untuk dilalui,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan aspek kewangan juga mesti sentiasa diperhalusi kerana berada di rantau orang janganlah bersikap lepas bebas dan mengamalkan gaya hidup mewah.

“Persiapan menghadapi hal kecemasan mesti sentiasa diberikan perhatian, misalnya jika tiba-tiba ada keperluan mendesak untuk kita kembali ke Malaysia, sudah pasti sejumlah kewangan diperlukan,” katanya.

Menurut laman Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehingga 12 April 2016:

• 51 negara menjadi pilihan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian mereka.

• 19,350 pelajar di United Kingdom dan Ireland

• 14,300 pelajar di Australia

• 13,600 pelajar di Taiwan

• 11,261 pelajar di Mesir

• 7,321 Amerika Syarikat

• Lima negara paling sedikit penuntut Malaysia adalah Bosnia Herzegovina, Hungary dan Qatar, masing-masing dengan tiga pelajar manakala Hong Kong serta Oman masing-masing dengan dua dan satu pelajar bagi pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 2:22 PM