NAIB Canselor UTHM Profesor Dr Wahid Razzaly (kanan)  menyampaikan watikah  kepada Dr Afandi.
NAIB Canselor UTHM Profesor Dr Wahid Razzaly (kanan) menyampaikan watikah kepada Dr Afandi.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melantik dua Penolong Naib Canselor bagi membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing universiti itu, sekaligus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing dalam pasaran kerja tempatan dan luar negara serta mempunyai keperibadian tinggi.

Pegawai Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor UTHM Suriyati Baharom berkata, jawatan baru diwujudkan itu berkuat kuasa Selasa lalu membabitkan jawatan Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) disandang Profesor Madya Dr Afandi Ahmad dan Penolong Naib Canselor (Kelestarian Kewangan) Profesor Madya Dr Wan Fauziah Wan Yussof.

“Dr Afandi menjadi alumni UTHM pertama dilantik jawatan Penolong Naib Canselor di universiti ini dan sebelum ini melakar sejarah baru dalam landskap kepimpinan UTHM sebagai individu pertama serta termuda menggalas amanah sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan juga sebagai Pengetua bagi Kolej Kediaman Perwira (KKP) secara serentak.

“Dr Wan Fauziah pula sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Perniagaan dan Keusahawanan sebelum dilantik ke Jawatan PNC ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Dr Afandi Ahmad pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKEE serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Komputer ketika berusia 26 tahun dan berjaya menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam tempoh ditetapkan (GoT).

“Dr Afandi adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dengan pengkhususan dalam bidang rekabentuk sistem terbenam untuk diagnosis pengimejan perubatan dari Brunel University London.

“Wan Fauziah pula banyak memberi sumbangan kepada universiti melalui bidang keusahawanan sehingga beliau berjaya mendapat pengiktirafan “Best Mentor Award” tahun lalu.

“Graduan PhD dari Victoria University, Melbourne, Australia, ini mula bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan di UTHM sejak 2004 selepas 12 tahun berkecimpung dalam bidang pembangunan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, warga universiti berharap lantikan itu mampu menyumbang dan meningkatkan pencapaian akademik UTHM, menjadikannya lebih cemerlang selaras hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau serta antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 3:13 AM