DEMONSTRASI robot menarik minat pelajar.
DEMONSTRASI robot menarik minat pelajar.
PELAJAR menjalani kajian dalam demonstrasi fizik.
PELAJAR menjalani kajian dalam demonstrasi fizik.
PELAJAR menyertai pertandingan Matematik.
PELAJAR menyertai pertandingan Matematik.
BERGAMBAR kenangan selepas program.
BERGAMBAR kenangan selepas program.
Fazurawati Che Lah


Bagi mendedahkan orang ramai mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang bergabung tenaga mengendalikan Hari Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik 2017 (STEM Day 2017).

Program yang bertujuan mendedahkan STEM kepada orang ramai dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, kehidupan seharian, pengajian tinggi dan dilawati kira-kira 1,000 pengunjung.

Program dikendalikan 35 siswa menarik minat ramai pengunjung apabila menyediakan platform hiburan berfaedah dan aktiviti interaktif serta permainan menarik berkaitan elemen pengetahuan STEM.

Pensyarah Kanan, Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM Dr Nor Ain Husein yang juga pengarah STEM Day 2017 berkata, pelbagai acara menarik diadakan bagi menarik minat pelajar terhadap STEM.

Menurutnya, 140 pelajar sekolah di sekitar daerah Johor Bahru Tengah menyertai Pertandingan From Zero To Hero, salah satu aktiviti sempena STEM Day 2017 di UniKL MITEC Bandar Seri Alam, baru-baru ini.

“Selain From Zero to Hero yang berbentuk explorace bertemakan STEM, antara aktiviti yang diadakan ialah demonstrasi dron, fizik, pameran sains kreatif, STEM Apps Challenge, Meet The Scientists, ceramah malah bengkel bagi memberi pendedahan dan latihan kepada guru serta pelajar.

“Pengunjung menyertai sekurang-kurangnya empat aktiviti mendapat sijil penyertaan STEM Day,” katanya.

STEM Day 2017 dianjurkan dengan kerjasama Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) sempena Festival Pembelajaran Iskandar (ILF 2017).

Dr Nor Ain berkata, UniKL MITEC Bandar Seri Alam, Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE) UTM, Kolej Tuanku Canselor UTM dan UiTM Pasir Gudang turut bekerjasama menjayakan program berkenaan.

Terdapat dua ucaptama semasa STEM Day yang disampaikan Dekan Fakulti Pendidikan, UTM Profesor Dr Baharuddin Aris bertajuk Embedding Technology, HOTS, Culture and Values in STEM Education.

Manakala Dr Ihsan Ismail daripada Kementerian Pendidikan menyampaikan ucaptama bertajuk Inisiatif Perkukuhan STEM.

Selain itu, pelbagai demonstrasi, ceramah, bengkel, kursus dan forum turut disampaikan oleh pakar STEM daripada Fakulti Sains, Fakulti Pendidikan UTM; IRDA, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Young Scientists Network, UTMSPACE dan syarikat seperti APG Plantation, Alexandria Books, Thinker Space serta Cryocord Malaysia.

Menurutnya, forum bertajuk Careers in STEM yang membincangkan pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM bersama moderator, Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM Profesor Madya Dr Suhairul Hashim yang juga ahli Young Scientists Network - Academy of Science Malaysia (YSN-ASM) turut diadakan.

Sementara itu, Koordinator Projek dari UniKl MITEC Khairul Firdaus Adrutdin berkata, kerjasama antara UTM, UiTM dan IRDA adalah langkah positif dalam mempromosikan inti pati pembelajaran sains dan teknologi untuk semua peringkat umur.

“STEM Day 2017 diisi dengan pelbagai perkongsian pengetahuan dan kemahiran praktikal yang diharapkan dapat memberi nilai tambah dalam mengaplikasikan STEM.

“Keseronokan yang dialami terutama oleh pelajar dalam festival ilmiah yang julung kali diadakan diharap dapat menarik minat terutama pelajar sekolah terhadap STEM. Ini perlu kerana meningkatkan modal insan dalam bidang STEM adalah keperluan negara kita hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 2:54 PM