HANYA segelintir kecil graduan KV yang mahu melanjutkan pengajian ke UA manakala sebahagian besarnya terus menceburi bidang pekerjaan. - Gambar hiasan
HANYA segelintir kecil graduan KV yang mahu melanjutkan pengajian ke UA manakala sebahagian besarnya terus menceburi bidang pekerjaan. - Gambar hiasan
 MAKLUMAT jelas perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka tahu apakah matlamat sebenar kewujudan KV sekali gus menepis persepsi negatif mengenai bidang ini. - Gambar hiasan
MAKLUMAT jelas perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka tahu apakah matlamat sebenar kewujudan KV sekali gus menepis persepsi negatif mengenai bidang ini. - Gambar hiasan
LEPASAN KV adalah aset bernilai untuk negara pada masa depan. - Gambar Google
LEPASAN KV adalah aset bernilai untuk negara pada masa depan. - Gambar Google
BIDANG TVET berupaya melahirkan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sentiasa dicari industri. - Gambar Google
BIDANG TVET berupaya melahirkan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sentiasa dicari industri. - Gambar Google
SELAMA empat tahun, pelajar KV akan mengikuti pengkhususan yang diambil sekali gus berupaya melahirkan graduan berkemahiran yang laris di pasaran biarpun tanpa kelulusan SPM. - Gambar Google
SELAMA empat tahun, pelajar KV akan mengikuti pengkhususan yang diambil sekali gus berupaya melahirkan graduan berkemahiran yang laris di pasaran biarpun tanpa kelulusan SPM. - Gambar Google
KEUPAYAAN graduan KV adalah setara meskipun tanpa sijil SPM. - Gambar hiasan
KEUPAYAAN graduan KV adalah setara meskipun tanpa sijil SPM. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin

Walaupun suatu ketika dulu pelajar Kolej Vokasional (KV) dianggap kelas kedua, kini mereka antara tenaga kerja yang paling laris di pasaran.

Dengan kemahiran dipelajari, pelajar KV bukan saja dianggap kompeten dan mahir dalam bidang diikuti malah memberi banyak kelebihan kepada majikan terutama dalam aspek teknikal.

Malahan, Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga menjadi agenda penting yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr Ahmad Esa berkata, pelajar dan graduan KV perlu berbangga kerana mereka menjadi antara tenaga kerja berkemahiran yang dicari industri.

Menurutnya, keperluan tinggi untuk mencari tenaga kerja seperti itu banyak memberi kelebihan kepada golongan terbabit sekali gus menaikkan lagi imej graduan atau pelajar KV.

“Oleh itu, pihak terbabit seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu memberi maklumat jelas kepada masyarakat supaya mereka faham apakah objektif kewujudan TVET.

“Elemen dan fokus utama TVET yang menjurus kepada bidang kemahiran kini menjadi aset utama dalam kalangan majikan.

“Sekali gus memberi impak yang sangat tinggi kepada pelajar atau bakal graduan KV,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan KV memang bertujuan melahirkan tenaga sumber manusia berkemahiran tinggi di pasaran kerjaya.

Menurutnya, sepanjang empat tahun pengajian, penekanan aspek kemahiran dilaksanakan secara khusus dan hanya sebahagian kecil saja penekanan subjek diberikan.

“Dengan kata lain, selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pelajar KV terus didedahkan dengan kemahiran mengikut pengkhususan pilihan hingga tamat pengajian dan dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).

“Selepas itu, mereka terus memasuki pasaran kerjaya dan ia bukan sukar kerana majikan memang sudah menanti,” katanya.

Beliau juga berkata, kewujudan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga landasan untuk memberi peluang kepada sebahagian kecil pelajar KV terbabit yang mahu melanjutkan pengajian disertakan syarat tertentu.

“Kebiasaannya, graduan KV memang menjadi buruan majikan.

“Bagaimanapun, bagi yang mahu melanjutkan pengajian, MTUN membuka ruang untuk mereka dengan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Ini juga selari hasrat untuk tidak menafikan hak pelajar lepasan KV untuk memperoleh pendidikan tinggi,” katanya.

Malah bagi FPTV UTHM, katanya, mereka tiada masalah menerima graduan KV.

“Kami tiada masalah dan mewujudkan laluan khas untuk graduan KV mengikuti pengajian menggunakan konsep penyamarataan sijil DVM yang setara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami mahu memberi pendidikan secara pedagogi kepada mereka dan berharap dengan ilmu ini, mereka menabur bakti semula kepada KV,” katanya.

Beliau juga menekankan, lepasan KV adalah aset bernilai bagi pembangunan negara pada masa depan.

“Budaya pekerjaan sekarang, mereka tidak lagi mementingkan pencapaian pada sehelai kertas semata-mata tapi turut berkehendakkan kemahiran.

“Ini menjadi keperluan baru dalam dunia pendidikan global pada hari ini,” katanya.

Menerusi Bajet 2017, pendidikan berasaskan kemahiran diperkasakan dengan peruntukan RM4.6 bilion kepada institusi TVET.

Sementara empat Institut Pendidikan Guru (IPG) diubah suai menjadi politeknik, Kolej Vokasional dan sebuah menjadi pusat latihan jurulatih TVET. Sejumlah RM270 juta pula disediakan untuk naik taraf peralatan pembelajaran di institusi TVET serta RM360 juta bagi Perbadanan Tabung Kemahiran.

Beliau berkata, ini menunjukkan betapa komitednya kerajaan memperkasa dan memartabatkan bidang kemahiran sebagai satu lagi alternatif dalam bidang pendidikan negara sekali gus melahirkan sumber tenaga buruh berkemahiran untuk negara.

Menurutnya, sindrom pelajar dan ibu bapa kurang meminati bidang TVET dapat dilihat menerusi beberapa stigma yang masih wujud dalam kalangan masyarakat biarpun pada masa sama sudah banyak usaha dilakukan bagi membetulkannya.

“Ia usaha yang sukar selagi masih ada masyarakat menganggap laluan pendidikan TVET sebagai pendidikan kelas rendah berbanding pendidikan akademik sementara pelajarnya pula dilabel kurang pandai.

“Ramai yang terlupa, sumber tenaga kerja yang semakin dicari majikan di seluruh dunia pada hari ini adalah daripada kalangan berkemahiran.

“Kemahiran sebenarnya aset yang mahal tapi kerana masih dibelenggu stigma seperti itu, bidang TVET seperti dianak tirikan,” katanya.

Dalam usaha menyalurkan maklumat kepada masyarakat, UTHM juga mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Pelancaran Technical and Vocational and Education and Training (TVET) yang berlangsung di perkarangan Perpustakaan Tun Aminah, institusi terbabit di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Program berkenaan yang dilaksanakan ­secara bersepadu juga sebagai usaha memberi kesedaran kepada golongan sasar berkaitan bidang dan kepentingan TVET dalam agenda pembangunan negara.

Antara pengisian program dijalankan adalah melaksanakan aktiviti khidmat komuniti di pelbagai institusi dan lapisan masyarakat

sekitar Parlimen Sri Gading serta Batu Pahat dengan setiap program mengetengahkan tema berkaitan TVET.

Antaranya, kemahiran memasak di daerah Rengit, melatih kemahiran mengecat di Kolej Jururawat Parit Raja, kemahiran teknologi maklumat dan servis penghawa dingin dalam kalangan belia, mengasah kemahiran lukisan teknik dalam kalangan pelajar serta kemahiran teknik dalam sukan dalam kalangan siswa UTHM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:26 AM