ROVANPERA berjaya memberikan pemanduan cemerlang di Rali New Zealand. FOTO AFP
ROVANPERA berjaya memberikan pemanduan cemerlang di Rali New Zealand. FOTO AFP
AFP

Auckland: Kalle Rovanpera meraikan hari jadinya hari ini dengan mendominasi hari ketiga Rali New Zealand, sekali gus semakin hampir untuk menjadi pelumba termuda merangkul gelaran dunia.

Pemandu Toyota berusia 22 tahun itu tidak berdepan masalah untuk mengharungi laluan basah di utara Auckland dan memiliki kelebihan 29 saat (s) ke atas juara dunia lapan kali, Sebastien Ogier menjelang perlumbaan terakhir esok.

Rovanpera yang mendahului kedudukan keseluruhan bakal raih gelaran dunia sulung tatkala berbaki dua pusingan lagi jika dia menamatkan saingan tujuh mata mengatasi pelumba tempat kedua, Ott Tanak.

Tanak dari Estonia ketinggalan 46.4s di belakang Rovanpera untuk menduduki tempat ketiga.

Rovenpera akan menjadi juara termuda dalam sejarah Kejohanan Rali Dunia (WRC) esok jika dia berjaya meraih kejuaraan kali keenam musim ini.

Kedudukan keseluruhan itu bertukar sebanyak lapan kali minggu ini dengan Rovanpera mempamerkan pemanduan pada kelas tersendiri untuk melonjak dari tempat keempat ke kedudukan teratas selepas memenangi tiga daripada enam peringkat.

"Ia hari yang sangat getir namun sangat menyeronokkan. Sudah tentu jika anda sentiasa berada dalam keadaan sempurna anda akan menikmatinya.

"Cuaca menjadi halangan utama namun saya melihatnya sebagai salah satu peluang dan menggunakannya sebaik mungkin," kata pelumba Finland itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 2:38 PM