OGIER dan pembantunya, Vincent Landais beraksi di Rali Portugal 2024. FOTO AFP
OGIER dan pembantunya, Vincent Landais beraksi di Rali Portugal 2024. FOTO AFP
AFP

Paris: Sebastien Ogier memenangi Rali Portugal untuk rekod kali keenam selepas berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu semalaman di laluan berbatu yang menguji mental serta fizikal.

Pemandu Perancis yang memandu Toyota Yaris itu berjaya mengatasi Markku Alen dari Finland, iaitu juara lima kali ketika bersama Fiat dan Lancia pada era 1970-an dan 1980-an.

"Saya tidak mahu terikat dengan Markku Alen," kata Ogier, juga pemenang di Portugal pada 2010, 2011, 2013, 2014 dan 2017.

"Dia seorang legenda, tetapi saya sentiasa ditanya selama bertahun-tahun, 'bila anda akan menewaskan rekod ini?.

"Ia bukan hujung minggu yang hebat untuk seluruh pasukan, tetapi ia adalah rali yang baik untuk kami dan saya gembira kami dapat membawa beberapa mata."

Ogier, yang hanya berlumba secara sambilan dalam kejohanan dunia 2024, menamatkan 7.9 saat (s) di hadapan Ott Tanak untuk menyelamatkan hujung minggu yang mencabar buat pasukannya.

Penyandang juara dunia, Kalle Rovanpera, rakan sepasukan Ogier di Toyota, terbabit dalam kemalangan pada hari Sabtu, manakala Takamoto Katsuta dari Jepun melihat harapannya terjejas akibat kerosakan suspensi.

Pendahulu kejuaraan, Thierry Neuville dari Belgium menduduki tempat ketiga, tetapi melebarkan kelebihannya ke atas Elfyn Evans kepada 24 mata selepas lima daripada 13 perlumbaan.

Evans ketinggalan lebih enam minit daripada rentak di tempat keenam dalam Toyota yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 9:11 AM