OGIER buru kejuaraan ke-10 di Monte Carlo. FOTO Agensi
OGIER buru kejuaraan ke-10 di Monte Carlo. FOTO Agensi
Reuters

Monaco: Juara rali dunia lapan kali, Sebastien Ogier masih dahagakan kejayaan, walaupun sebagai pemandu sambilan Toyota, ketika dia memulakan musim baharu mengejar kemenangan Rali Monte Carlo ke-10 sekali gus melebarkan rekod hujung minggu ini.

Perlumbaan yang paling tua dan menarik perhatian itu berpusat di bandar tenggara Gap, tempat kelahiran pemandu Perancis berusia 40 tahun itu, dan dia mahir jalan pergunungan yang berbahaya berbanding pelumba lain.

"Nombor tidak pernah menjadi motivasi utama saya, tetapi jika saya boleh meraih kemenangan ke-10 dalam acara ini, ia akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa," kata pemenang tahun lalu dalam persiapan perlumbaan yang terkenal dengan permukaan bersalji.

"Saya fikir ia adalah perlumbaan yang anda perlu hormati lebih daripada yang lain kerana keadaannya boleh menjadi sangat mencabar, yang bermakna tiada apa-apa yang dijamin."

Rakan sepasukan dan penyandang juara, Kalle Rovanpera, hanya akan menyertai perlumbaan tertentu musim ini dan menyaksikan pelumba Wales, Elfyn Evans sebagai calon utama Toyota mencabar kejuaraan selepas menamatkan saingan selaku naib juara keseluruhan dalam tempoh empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Evans masih belum pernah menang di Monte Carlo dengan hanya menduduki tempat kedua pada 2021.

Perubahan besar dalam kejuaraan untuk musim ini adalah sistem pemarkahan baharu yang bertujuan memberikan lebih keterujaan pada hari terakhir.

Mata kini akan diperuntukkan pada penghujung aksi Sabtu pada skala 18-15-13-10-8-6-4-3-2-1 dan menyediakan kru melengkapkan perlumbaan pada hari Ahad, dengan hari terakhir menyediakan lebih banyak mata secara 7-6-5-4-3-2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 11:42 AM