OGIER dan juruarah Julien Ingrassia menjuarai Rali Mexico. — FOTO AFP
OGIER dan juruarah Julien Ingrassia menjuarai Rali Mexico. — FOTO AFP
Reuters

JUARA dunia Sebastien Ogier memenangi perlumbaan Rali Mexico semalam dan menambah lima mata bonus bagi kutipan mata maksimum yang menyaksikan pemandu Perancis itu melonjak ke tangga kedua keseluruhan.

Selepas tiga pusingan musim ini, juara dunia enam kali dari Citroen itu menang dua dan kini ketinggalan empat mata di belakang pemandu Toyota dari Estonia, Ott Tanak.

Tanak mengumpul 65 mata, Ogier 61 manakala pemandu Hyundai dari Belgium Thierry Neuville 55. Toyota kekal mendahului kejuaraan pengeluar.

Kemenangan berdekatan dengan bandar raya hos Leon, di tengah negeri Guanajuato, adalah kali kelima buat Ogier di Mexico apabila dia berakhir 30.2 saat di depan Tanak.

Pemandu Britain, Elfyn Evans memulakan saingan hari terakhir di tangga kedua namun merudum ke tangga ketiga buat M-Sport Ford selepas Tanak memintasnya menerusi dua kemenangan peringkat pada sebelah pagi.

Ogier mendahului sejak Jumaat lalu dan kekal di depan di laluan tanah tinggi berpasir hingga ke penamat.

Dia mengatasi Kris Meeke dengan 0.025 saat pada peringkat terakhir ‘Power Stage’ untuk meraih 30 mata pada hujung minggu. Neuville mendapat tiga mata bonus.

Perlumbaan rali berikutnya di Corsica dari 28 hingga 31 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:14 AM