Raikkonen (kiri) turut membantu memadamkan kebakaran keretanya pada sesi latihan bebas di Abu Dhabi. FOTO Agensi
Raikkonen (kiri) turut membantu memadamkan kebakaran keretanya pada sesi latihan bebas di Abu Dhabi. FOTO Agensi
Agensi

Abu Dhabi: Kimi Raikkonen berdepan insiden menakutkan pada sesi latihan bebas kedua di Abu Dhabi ketika keretanya terbakar kurang dua minggu selepas kemalangan ngeri membabitkan Romain Grosjean.

Pelumba veteran Formula Satu, Raikkonen, 41, sedang memecut di litar ketika jentera Alfa Romeo secara tiba-tiba terbakar di bahagian belakang.

Ketika sesi latihan di litar Yas Marina, Raikkonen terpaksa memberhentikan keretanya dan pantas keluar dari kenderaannya selepas diarahkan pasukannya untuk menyelamatkan diri.

Rakan sepasukan dari Alfa Romeo menjerit menerusi saluran radio komunikasi, berkata: "Api besar. Cepat keluar dari situ, segera."

Bagaimanapun, bantuan tiba dan kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan alat pemadam kebakaran.

Malah Raikkonen turut menggunakan pengalamannya mengambil alat pemadam kebakaran dan membantu memadam api daripada merebak.

Pelumba Finland itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Insiden itu menyebabkan bendera merah dikibarkan selama 10 minit bermakna Raikkonen mungkin berdepan penalti pada perlumbaan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 11:31 AM