RAIKKONEN bekas juara dunia F1.
RAIKKONEN bekas juara dunia F1.
AFP

Paris: Bekas juara dunia Kimi Raikkonen mengumumkan akan bersara daripada Formula Satu pada penghujung musim ini selepas 20 tahun terbabit dalam sukan itu.

Pelumba Finland berusia 41 tahun itu hanya meraih dua mata tahun ini untuk pasukan Alfa Romeo.

Dia muncul juara dunia pada 2007 ketika berlumba untuk Ferrari selepas mengatasi dua pelumba McLaren ketika itu, Fernando Alonso dan Lewis Hamilton dengan satu mata.

"Sudah tiba masanya. Ini musim terakhir saya di Formula Satu," kata Raikkonen dalam kenyataan di Instagram.

"Keputusan ini sebenarnya diambil pada musim sejuk lalu. Ia bukan keputusan mudah tetapi selepas musim ini, tiba masanya untuk perkara baharu.''

Dia memegang rekod penyertaan F1 terbanyak dengan 344 dan 21 kemenangan Grand Prix selain 18 petak pertama dan 103 penamat podium.

Raikkonen tampil kali pertama di F1 bersama Sauber pada 2001 sebelum cemerlang ketika lima tahun bersama McLaren dengan menjuarai sembilan perlumbaan pada 2005 dan menduduki tempat kedua dalam carta pemandu di belakang Alonso.

Kemuncak kejayaannnya dua tahun kemudian apabila muncul juara dunia bersama Ferrari.

"Walaupun musim ini masih berlangsung, saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, pasukan, semua yang terbabit dalam karier saya terutamanya penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,'' kata Raikkonen yang gelarannya 'The Iceman'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 11:42 AM