GROSJEAN (dua kiri) dibantu pasukan keselamatan selepas terbabit dengan insiden ngeri yang hampir meragut nyawanya awal pagi tadi. FOTO AFP
GROSJEAN (dua kiri) dibantu pasukan keselamatan selepas terbabit dengan insiden ngeri yang hampir meragut nyawanya awal pagi tadi. FOTO AFP
Agensi

Sakhir: Romain Grosjean berkata dia mungkin terbunuh sekiranya tidak terdapat sistem perlindungan 'halo' di kokpit jentera Formula Satu (F1) dipandunya.

Pemandu Perancis itu berkongsi gambarnya tersenyum di hospital beberapa jam selepas jenteranya melanggar penghadang tepi litar pada kelajuan tinggi sebelum terbelah dua dan kemudian terbakar.

Grosjean yang beraksi bersama Haas terperangkap selama 20 saat di dalam kokpit pada pusingan pertama di Grand Prix (GP) Bahrain sebelum berjaya keluar dari jenteranya.

Pemandu berusia 34 tahun itu kemudian dikejarkan ke hospital di Bahrain untuk menerima rawatan susulan tangannya yang melecur.

"Saya mahu menyatakan bahawa saya OK. Terima kasih atas segala doa anda.

"Saya rasa sistem 'halo' antara yang paling terbaik diperkenalkan di Formula Satu dan tanpanya saya mungkin tidak dapat bercakap dengan anda hari ini.

"Terima kasih kepada pasukan perubatan di litar dan hospital. Saya harap dapat membalas setiap mesej anda kepada saya," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu yang akan bersara hujung musim ini, menerima bantuan oleh doktor, Ian Roberts yang pantas ke lokasi insiden itu.

Roberts yang juga penumpang kereta perubatan di belakang jentera F1 pada pusingan pertama, kemudian dibantu oleh pemandunya, Alan van der Merwe yang menggunakan pemadam api untuk memadam kebakaran dan seterusnya mengeluarkan Grosjean.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 1:12 PM