GROSJEAN nyaris maut di Bahrain. FOTO AFP
GROSJEAN nyaris maut di Bahrain. FOTO AFP
AFP

Paris: Romain Grosjean yang hampir kehilangan nyawa selepas terbabit nahas ngeri dalam saingan Formula Satu dua bulan lalu mengumumkan akan kembali berlumba tahun ini di Siri Indy Car Amerika Syarikat tetapi tidak akan menyertai Indianapolis 500.

Pelumba Perancis itu terselamat daripada maut di Grand Prix Bahrain pada penghujung November lalu apabila keretanya itu terbakar selepas terbabas pada kelajuan 220km sejam ketika pusingan pertama. Jentera Haas itu musnah hanya dalam masa 28 saat.

Selepas kehilangan tempat di F1, Grosjean kini bakal berlumba untuk pasukan Dale Coyne di Amerika Syarikat.

"Apa yang saya terlepas sejak beberapa tahun lalu ialah perjuangan untuk memenangi perlumbaan,'' kata pelumba berusia 34 tahun itu.

"Jadi, jelas saya perlukan kejuaraan yang boleh saya berjuang dengannya dan menangi perlumbaan setiap hujung minggu, sudah pasti hebat."

Ketika ditemui wartawan selepas tragedi di Bahrain itu, Grosjean berkata: "Saya nampak kematian terlalu hampir."

Selepas diselamatkan, pelumba veteran Perancis itu mengalami kecederaan akibat melecur teruk pada kedua-dua tangan, bengkak buku lali kiri dan calar di sebelah badan.

Bagaimanapun, Grosjean tidak akan berlumba di Indy 500 bagi mengurangkan kerisauan keluarganya.

"Saya pada mulanya dijangka terbabit perlumbaan sepanjang musim tetapi selepas tragedi itu, saya fikir kerisauan keluarga perlu diambil kira,'' kata Grosjean.

"Saya enggan ia berulang di hadapan keluarga dan anak yang menyaksikannya di televisyen di rumah. Saya tak mahu mereka berdepan situasi sama sekali lagi."

Grosjean terbabit dalam 179 perlumbaan sepanjang 10 musim F1 bersama Renault, Lotus dan kemudiannya Haas yang telah pun membuat keputusan menggantikannya sebelum tragedi itu.

Dia mengakhiri karier sedekad di kejohanan dunia tanpa sebarang kemenangan tetapi menaiki podium sebanyak 10 kali.

Grosjean akan tampil kali pertama dalam musim Indy Car di Grand Prix Alabama pada 18 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 11:38 AM