ANDRE menang emas acara lompat jauh.
ANDRE menang emas acara lompat jauh.
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar menghadiahkan pingat emas kedua kontinjen negara dalam sukan olahraga pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, hari ini.

Pada acara di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat lompatan terbaik 7.46 meter (m) untuk emas buat kontinjen negara.

Rekod itu bagaimanapun agak jauh berbanding rekod kebangsaan dilakar Andre, 8.02m pada Sukan Sea 2019.

Kemenangan ini menyaksikan skuad negara mempertahankan pingat emas dalam acara terbabit yang sebelum ini dimenangi Lukman Hakim Ramlan di Ubon Ratchathani, dua tahun lalu.

Terdahulu, ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani bagi edisi kali ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera itu melakukan catatan 45.23m untuk meraih pingat emas di hadapan dua atlet tuan rumah, Nur Wahyu Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m).

Selain dua pingat emas itu, hari pertama acara olahraga menyaksikan Malaysia turut merangkul tiga pingat perak menerusi Kamal Farhan A Rahman (lempar cakera), Mandy Goh Li (400m lari berpagar wanita) dan juga Azeem Fahmi (100m lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:09 PM