AZEEM dan Shereen dijangka ketahui peluang ke Paris petang esok.
AZEEM dan Shereen dijangka ketahui peluang ke Paris petang esok.
Daripada Syafiq Aznan di Surabaya


Surabaya: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tampaknya sedia 'menggegar' Paris sekiranya diberi peluang untuk memenuhi slot 'wild card' bagi bertanding pada temasya Sukan Olimpik 2024, hujung bulan ini.

Namun, penuntut Universiti Auburn itu menegaskan dia akan akur dengan apa sahaja ketetapan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai slot 'wild card' itu memandangkan slot itu turut menjadi rebutan seorang lagi atlet negara, Shereen Samson Vallabouy.

"Banyak yang bermain dalam minda saya tetapi saya bersyukur dengan apa jua keadaan. Jadi saya akur dan berlapang dada dengan apa sahaja keputusan daripada KOM.

"Kalau ada rezeki, ia (slot wild card) akan jadi milik saya. Kalau dapat ke Sukan Olimpik, saya ada kira-kira sebulan untuk pastikan yang saya dapat bersedia sepenuhnya.

"Jika tidak ke Sukan Olimpik, saya akan fokus untuk Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, KOM dijangka mengumumkan atlet yang akan mengisi slot 'wild card' itu, petang esok.

Terdahulu, Azeem menghadiahkan pingat perak acara 100 meter (m) Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), hari ini.

Penuntut Universiti Auburn itu merakam catatan 10.37 saat (s) untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua di belakang pelari Indonesia, Lalu Mohamed Zohri yang mencatat 10.19s untuk meraih pingat emas.

Catatan Azeem di final itu bagaimanapun lebih baik berbanding catatan pada sesi saringan sebelah pagi yang menyaksikan dia mencatat 10.55s.

"Ini bukanlah persembahan terbaik saya tetapi saya bersyukur menamatkan perlumbaan dalam kedudukan podium. Saya cuba dapatkan pingat emas tetapi tiada rezeki.

"Saya sudah beri segalanya kerana tiada apa yang perlu disimpan di final. Saya akan bawa perkara positif ini untuk acara 4x100m dan 200m nanti," kata pemegang rekod 100m kebangsaan itu.

Sementara itu, ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani bagi edisi kali ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera itu melakukan catatan 45.23m untuk meraih pingat emas di hadapan dua atlet tuan rumah, Nur Wahyu Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:53 PM