UMAR menang emas acara 400m.
UMAR menang emas acara 400m.
Syafiq Aznan


Surabaya: Pemegang rekod kebangsaan dalam acara olahraga jelas tidak mengecewakan pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 selepas mereka berjaya menggungguli acara masing-masing.

Memasuki hari kedua acara olahraga di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), kontinjen negara berjaya menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara 400m lelaki, 400 m wanita dan 4x100m lelaki.

Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m, Umar Usman merangkul emas pertamanya di AUG dalam acara 400m menerusi catatan 47.22 saat (s) meninggalkan pelari Indonesia, Muhamad Fitadi (48.20s) dan wakil Thailand, Jirateep Bunde (48.66s).

Umar ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, dia mengambil keputusan untuk 'memecut' selepas melihat dia agak ketinggalan dalam perebutan pingat emas bagi acara terbabit.

"Disebabkan nak menang pingat emas, saya tidak boleh perlahan kerana pada permulaan, saya nampak agak perlahan jadi saya kena lajukan (larian).

"Saya potong mereka untuk dapatkan pingat emas. Saya yakin dapat pingat emas sebab saya percaya pada diri sendiri dan itu menjadikan saya bersemangat untuk buktikan bahawa saya boleh dapat pingat emas di sini.

"Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini tetapi saya kena fokus untuk sumbangkan pingat emas dalam acara 4x400m nanti," katanya.

Shereen Samson Vallabouy juga memperaga aksi cemerlang apabila mendominasi acara 400m dengan catatan 53.71s, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dari Thailand, Benny Nontanam (55.09s) dan Maulidah dari Indonesia (56.51s).

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal turut menghadiahkan pingat emas dengan catatan 40.10s.

Pada acara pagi tadi, Malaysia meraih pingat emas pertama pada hari ini menerusi cara lontar peluru yang dimenangi Nani Sahirah Maryata dengan catatan 15.20m.

Andre Anura Anuar kemudiannya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh selepas mencatat lompatan terbaik 7.46 meter (m).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:23 PM