QUEENIE menang emas acara lempar cakera dengan catatan 49.44 meter, sekali gus menyaksikan 11 emas dicapai skuad olahraga di AUG 2022.
QUEENIE menang emas acara lempar cakera dengan catatan 49.44 meter, sekali gus menyaksikan 11 emas dicapai skuad olahraga di AUG 2022.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Emas daripada jaguh lempar cakera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni dan R Kirthana dalam acara lompat tinggi melengkapkan aksi cemerlang skuad olahraga di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022.

Queenie yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi acara lempar cakera dengan catatan 52.36 meter (m) meraih emas selepas melakukan balingan sejauh 49.44m mengatasi rakan senegara, Nur Atiqah Sufiah Hanizam.

"Saya gembira dengan kemenangan ini walaupun lontaran dibuat tidak seperti disasarkan jurulatih iaitu 51m. Sebenarnya keadaan saya tidak begitu baik apabila demam akibat perubahan cuaca selepas sampai di Thailand.

"Namun, itu bukan alasan dan tetap cuba buat yang terbaik dan jurulatih berbangga dengan pencapaian ini kerana dia tahu tahap kesihatan saya tidak begitu baik ketika beraksi," kata Queenie.

Pemenang pingat perak di Sukan Sea Hanoi, Vietnam itu berkata, selepas ini dia akan memberi fokus kepada Sukan Perpaduan Islam 2022 di Konya, Turki yang bermula 9 hingga 18 Ogos ini.

Sementara itu, Kirthana yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih emas selepas melakukan lompatan 1.54m mengatasi rakan senegara, Ng Yu Ji walaupun mereka berkongsi ketinggian sama.

Tambahan dua emas itu menyaksikan, olahraga membawa pulang 11 emas pada edisi kali ini, sekali gus melepasi sasaran tujuh emas ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sementara itu, pengurus pasukan olahraga Malaysia di AUG 2022, Malik Tobias berkata, secara keseluruhan, kem olahraga negara membawa pulang 11 emas, 24 perak dan lima gangsa, sekali gus menjadi antara edisi terbaik sukan itu di AUG.

"Alhamdulillah semua atlet memberikan aksi terbaik pada edisi kali ini untuk kem olahraga melepasi sasaran tujuh emas ditetapkan.

"Hari terakhir acara olahraga semalam, kita sasar dua emas dan berjaya mencapainya menerusi Queenie dan Kirthana.

"Jadi kita capai 11 emas, itu satu pencapaian sangat baik dan saya fikir ini adalah hasil daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan, jurulatih dan atlet yang memberi fokus pertandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 1:09 PM