ANDRE akan turun dalam lompat kijang selepas raih emas dalam acara lompat jauh. -FOTO KPT
ANDRE akan turun dalam lompat kijang selepas raih emas dalam acara lompat jauh. -FOTO KPT
Daripada Syafiq Aznan di Malang


Malang: Atlet lompat jauh negara, Andre Anuar perlu mengekalkan rentak dan corak larian seperti yang diperolehi ketika memenangi pingat emas acara lompat jauh Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 untuk acara lompat kijang, esok (Khamis).

Pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh itu mengakui dia bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik ketika berentap bagi acara lompat jauh semalam sehingga menyaksikan lompatannya batal sebanyak dua kali.

Namun, dia berjaya tampil dengan lompatan 'sah' 7.46meter (m) pada lompatan kelima sekali gus membolehkan dia merangkul pingat emas bagi acara terbabit di AUG 2024.

"Saya ada masalah daripada segi rentak dan 'run up' dan sebab itulah lompatan saya banyak yang batal sebelum ini.

"Cuma daripada segi rentak yang kurang memberangsangkan kerana semuanya berubah ketika hari pertandingan. Semuanya berjalan lancar pada sesi latihan.

"Saya takut semua lompatan saya batal jadi saya tiada keputusan. Selepas lompatan keempat, baru saya dapat rentak dan pada lompatan kelima, saya dapat buat 7.46m.

"Jadi saya akan bawa rentak pada hari ini (semalam) untuk acara seterusnya dan daripada situ, saya akan buat persiapan yang rapi untuk acara lompat kijang nanti," katanya.

Itu adalah pingat emas kedua dari sukan olahraga di AUG 2024 selepas pingat emas pertama disumbangkan ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni.

"Saya berpuas hati dapat kekalkan pingat emas yang sebelum ini dimenangi Lukman Hakim Ramlan di Ubon Ratchathani, dua tahun lalu," kata Andre.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:26 PM