PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus mengorak dimensi baharu apabila menjalinkan kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi melahirkan pemain yang mempunyai pendidikan pada masa akan datang.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kerjasama antara dua agensi itu membolehkan pemain sepak takraw Malaysia memilih untuk belajar mendapatkan sijil atau diploma sekali gus mencerahkan peluang mendapatkan kerja lebih baik.

Jelasnya, mereka bukan sahaja diberikan pelajaran tetapi akan berlatih untuk skuad pelapis negara bersama barisan jurulatih yang terpilih.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM pada Ahad lalu bincang dan putuskan beberapa perkara penting iaitu kita terima pemohonan daripada Mara dan Felda untuk menjadi ahli bersekutu PSM.

"Ini menjadikan ahli bersekutu kita sekarang ada tujuh dan bagi keseluruhan ahli gabungan bersekutu ada 23 yang bernaung di bawah PSM.

"Antara perkara lain juga dibincangkan adalah kerjasama PSM dengan Giat Mara. Pada masa sama kita usaha dapatkan sijil atau diploma bagi lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mungkin pencapaian kurang memuaskan tapi ada kualiti untuk diketengahkan dalam sukan sepak takraw,"katanya.

Selain itu, bagi memastikan ia menjadi platform untuk mendapatkan lebih ramai atlet pelapis, PSM terus bergerak dengan mengambil 12 pemain sebagai permulaan untuk program itu.

"Fasa pertama selesai di mana seramai 12 orang terpilih. 10 pemain kita tempatkan di Giat Mara khusus peringkat sijil dan dua lagi diploma.

"Mereka akan dapat dua iaitu dari segi akademik serta diploma dan satu lagi dapat masuk dalam skuad pelapis negara. Mereka akan dilatih jurulatih bertauliah yang akan ditentukan oleh PSM dan latihan sepak takraw di Kolej kemahiran Tinggi MARA di Kuantan, Pahang.

"Ini sesuatu yang baharu, bagus dan menarik. "Bukan setakat lelaki tapi PSM akan memberi fokus kepada wanita juga. Ini satu lagi usaha PSM melibatkan kerjasama dengan Mara," kata Sumali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 6:01 PM