Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO Genes Gulitah
Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO Genes Gulitah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah menerima surat permohonan daripada Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) untuk kembali berada di bawah badan induk berkenaan.

Menurut Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, kemasukan PSS hanya akan diputuskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi badan induk berkenaan yang akan datang.

"Sarawak yang terkini, sudah menghantar surat kepada kita. Cuma secara rasmi belum kerana kita kena putuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM yang akan datang untuk kita sahkan," kata Sumali.

Sebelum ini, empat badan sukan negeri - Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan Putrajaya - berada di bawah entiti berbeza iaitu Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) bersama Perlis.

Bagaimanapun, selepas Perlis membuat keputusan untuk kembali bersama PSM, Mastaf berada dalam situasi sukar sehingga menjurus kepada pembubaran badan induk berkenaan, hanya kurang beberapa jam selepas persatuan di utara tanah air itu mengumumkan menyertai semula PSM.

Selangor terlebih dulu membuat keputusan untuk kembali bersama PSM selepas pembubaran berkenaan.

"Sarawak dan Selangor sudah masuk (PSM). Tinggal Putrajaya dan Labuan saja lagi," kata Sumali yang pada masa ini masih menunggu jawapan balas daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) bagi mendapatkan semula pengiktirafan kedua-dua badan induk antarabangsa itu.

"Sedang menunggu jawapan daripada Astaf dan Istaf. PSM sudah lama memohon dan ada beberapa dokumentasi yang belum lengkap juga sudah kita lengkapkan," kata Sumali.

"Ada berkomunikasi dengan Datuk Abdul Halim Kader (Presiden Astaf dan Setiausaha Agung Istaf). Apapun, kita serahkan kepada Astaf dan Istaf, buat masa ini kita masih berjalan seperti biasa dan menunggu pengiktirafan daripada Astaf dan Istaf."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 12:04 PM