RAKAMAN gambar orang awam menyelamatkan anjing Husky yang didera dan dihantar ke klinik haiwan swasta di Kota Damansara. FOTO tular/Instagram Shimaaris
RAKAMAN gambar orang awam menyelamatkan anjing Husky yang didera dan dihantar ke klinik haiwan swasta di Kota Damansara. FOTO tular/Instagram Shimaaris
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Anjing baka Husky yang tular didera tuannya dipercayai berlaku di sebuah kondominium sekitar Kajang kelmarin, kini dalam jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah merakam keterangan pemilik haiwan terbabit dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, mereka menerima aduan berhubung kejadian itu 11.50 malam pada 1 Jun sebelum turun ke lokasi bagi membuat pemeriksaan pada keesokannya.

"Hasil pemeriksaan mendapati anjing Husky berkenaan dibawa oleh orang awam dari lokasi kejadian ke klinik haiwan swasta yang terletak di sekitar Kota Damansara.

"Seterusnya JPV bertindak mengambil milik anjing Husky terbabit untuk tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut oleh pegawai veterinar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, JPV dalam kenyataan sama menafikan ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan semasa haiwan itu seperti yang ditularkan di media sosial dan memberi amaran keras kepada pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih.

Terdahulu satu klip video tular memaparkan seorang lelaki mendera anjing di sebuah rumah di kondominium terbabit tetapi berjaya dirakam dari jauh orang awam yang melihat kejadian itu melalui pintu kaca di bahagian balkoni.

Dalam satu lagi klip video memaparkan anjing terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam namun riak wajah haiwan itu jelas menunjukkan ia berada dalam ketakutan dan masih trauma.

Susulan itu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 12.47 tengah malam kelmarin dan mengesahkan siasatan dijalankan oleh JPV.

Mengulas lanjut JPV menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati mendera haiwan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan suspek terbabit boleh dikenakan denda mencecah RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahu atau kedua-dua sekali mengikut Perenggan 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"JPV menasihatkan mana individu atau persatuan berkaitan haiwan supaya menyalurkan terus aduan berhubung kebajikan haiwan kepada JPV.

"Aduan boleh disalurkan menerusi pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) dan dinasihatkan tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:12 PM