Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sepuluh ahli gabungan dan empat ahli bersekutu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menarik nafas lega selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih mengiktiraf mereka sebagai badan induk sukan sepak takraw kebangsaan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini menyatakan PSM masih menjadi ahli gabungan organisasi berkenaan selain meminta Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa dalam kemelut dihadapi.

PSM melalui satu kenyataan menganggap keputusan PJS yang meluluskan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baru sukan sepak takraw negara, jelas bercanggah dengan prinsip dan semangat kesukanan yang terbina selama ini.

"PSM juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan PJS yang dilihat tidak mahu memberi kerjasama dan memberi maklum balas berkenaan permohonan pertemuan yang diajukan PSM sebelum ini, malah PJS mengambil tindakan tergesa-gesa dengan memberi kelulusan kepada MSC tanpa memberi ruang perbincangan bersama PSM terlebih dulu," kata PSM.

Tindakan PJS yang meluluskan MSC dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pula mengiktiraf MSC adalah satu tindakan yang amat dikesali dan diragui serta dilihat tidak mengikut kaedah atau prosedur ditetapkan seperti melalui kelulusan atau persetujuan MOM terlebih dulu.

"Kami 10 ahli gabungan dan empat ahli bersekutu PSM akan terus bersama dan mendokong PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw negara serta dengan jelas menolak MSC sebagai entiti baru sukan berkenaan.

"Tindakan yang dibuat oleh PJS ini memberi kesan buruk kepada kemajuan sukan negara khususnya sukan sepak takraw dan kami meminta siasatan secara terperinci perlu dilakukan supaya perkara seperti ini tidak berulang kepada mana persatuan sukan yang lain selepas ini," kata PSM.

Sepuluh ahli gabungan yang menyatakan pendirian berkenaan adalah Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan (PERSWIP); Persatuan Sepaktakraw Johor (PSJ); Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (Persedar); Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT); Persatuan Sepaktakraw Sabah (Astaka); Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang (PSNP) serta Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak).

Selain pembabitan Persatuan Sepaktakraw Negeri Melaka (Pastam); Persatuan Sepaktakraw Negeri Pulau Pinang (Pesenang); Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans).

Empat ahli bersekutu di bawah PSM yang turut bersama adalah Persatuan Sepaktakraw Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Majlis Sukan PDRM; Majlis Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Maskab) dan Majlis Sukan Penjara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:48 PM