GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Jabatan Mufti Perak dan Jabatan Mufti Sabah menyokong usaha Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan untuk memberi takrifan kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Penakrifan itu daripada sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, fiqh Mazhab syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid.

Kedua-dua jabatan mufti berkenaan menyatakan bahawa inisiatif itu mesti disokong sepenuhnya semua umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, RUU berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperkemaskan tadbir urus hal ehwal Islam terutamanya membabitkan isu pada Perkara 4.

Beliau berkata, Perkara 4 menakrifkan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sudut akidah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.

"Ia turut diberikan penekanan kepada Fiqh Mazhab Syafie dan meraikan tiga mazhab lain serta perkara yang berkaitan dengan ilmu tasawuf melalui Imam al-Ghazali dan Imam Junaid al-Baghdadi.

"Ianya perlu diperkasakan demi menjamin kesejahteraan umat Islam di bumi bertuah ini," katanya.

Semalam, Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim mengajak umat Islam untuk mendokong RUU berkenaan sekali gus memperkemaskan takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara itu, Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata, inisiatif RUU itu sangat relevan kerana dilihat mampu memperkukuhkan asas Islam sedia ada malah mampu mengekang ekstremisme dan radikalisme agama pada masa ini.

Beliau berkata, pengukuhan ini dapat membasmi aspek takfiri seperti golongan khawarij dan tidak pula longgar seperti golongan murjiah dan Liberal-Plural-Sekular.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:10 PM