SKUAD takraw negara berjaya robek ego Thailand.
SKUAD takraw negara berjaya robek ego Thailand.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kerjasama antara Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan bantuan Sains Sukan buat skuad negara ternyata memberi impak positif sehingga Malaysia meraih dua gelaran di Piala Dunia Sepak Takraw 2024, baru-baru ini.

Malah, prestasi pemain kelihatan sangat baik berbanding sebelum ini terutama dari segi fokus di dalam gelanggang dan itu membolehkan pemain menampilkan aksi terbaik termasuk melakukan magis untuk bangkit dari ambang kekalahan.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, beliau mengambil inisiatif itu bagi memastikan pasukan sepak takraw benar-benar berada di landasan terbaik untuk bersaing terutama dengan Thailand dan ia dapat melihat perubahan sangat baik dalam kalangan pemain negara.

"ISN dan MSN bantu dari sudut saintifiknya, ada macam-macam (bantuan diberikan). Kita minta ISN bantu membabitkan kecergasan pemain.

"Pertama sekali, bila kita kalah di Piala Raja Thai (2023), selepas itu Sukan Asia (Hangzhou 2023) dan kita buat post mortem , terdapat dua tiga aspek yang perlu diperbetulkan. Suka tak suka, kita kena perbaiki daripada sekarang.

"Satu mengenai disiplin, kedua berkaitan tahap kecergasan dan ketiga adalah dari segi ketahanan mental. Yang ini, kita betul-betul buat.

"Sebab itu, ada masa seminggu, kita hantar mereka ke pusat komando, biar mereka berlatih macam komando. Walaupun satu minggu, tapi OK. Nampak berkesan kepada pemain," katanya.

Sumali menjelaskan sebelum ini PSM sudah bekerjasama dengan pihak berkenaan, cuma tidak terlalu mendalam seperti sekarang apabila ISN boleh memberikan data secara terperinci berkenaan prestasi pemain seperti kelajuan bola yang diservis oleh tekong negara.

"Sebelum ini memang ada tapi mungkin tak banyak. Tapi sekarang ini lebih banyak dan menyeluruh dari segi kelajuan servis pun dia (ISN) bantu. Berapa kelajuan servis Syahir (Rosdi) dan Haziq (Hairul Nizam) dan lain-lain.

"Kadang-kadang, kelajuan itu bukan kerana dia tak boleh tapi disebabkan otot atau berat badan pemain itu, mereka kena turun berat lagi. Macam-macam lagi input yang dikongsi dan benda ini kita bincang selalu dan tak pernah pun kita terangkan di luar. Semua secara dalaman kita buat," kata Sumali.

Terdahulu, skuad sepak takraw negara melakukan kejutan dengan menewaskan Thailand di final bagi aksi beregu dan antara regu untuk membolehkan Malaysia meraih dua kejuaraan di hadapan penyokong setia di Stadium Titiwangsa.

Bagaimanapun, hasrat untuk mencipta hatrik tidak kesampaian apabila skuad kendalian Ahmad Jais Baharun tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi final regu berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 4:33 PM