SUMALI (tengah) gembira dengan kemasukan SSC sebagai ahli gabungan terbaru PSM.
SUMALI (tengah) gembira dengan kemasukan SSC sebagai ahli gabungan terbaru PSM.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) diancam bakal dibubarkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS), mereka terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

PSM dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Sarawak Sports Corporation (SSC) kini menjadi ahli bersekutu badan induk itu.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, PSM menerima permohonan daripada SSC untuk menjadi ahli bersekutu melalui surat bertarikh 20 Julai lalu dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi PSM.

"Permohonan SSC sudah dipersetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi PSM untuk mereka menjadi ahli bersekutu. Kami di PSM yakin dengan penyertaan SSC akan dapat memanfaatkan bukan saja pembangunan sepak takraw di Sarawak malah memberi impak positif dalam sukan itu di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kemasukan SSC dalam PSM akan menguatkan lagi PSM yang kini menaungi 11 ahli gabungan dan lima ahli bersekutu.

Sebelum ini, lima ahli gabungan PSM iaitu Persatuan Sepaktakraw Selangor; Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepaktakraw Sarawak; Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan bertindak keluar daripada badan induk itu dan menyertai penubuhan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf).

Bagaimanapun, Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah kembali ke pangkuan PSM sebagai ahli gabungan pada awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 4:23 PM