SUMALI (dua dari kiri) menerima kemasukan PSTPs. FOTO Ferzalfie Fauzi
SUMALI (dua dari kiri) menerima kemasukan PSTPs. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dilihat semakin kuat apabila menerima permohonan masuk Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) selepas badan induk negeri itu membuat keputusan keluar daripada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) berkuatkuasa, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan dalam satu sidang media disertai Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad yang turut memaklumkan peletakan jawatannya sebaga penolong Setiausaha Agung Mastaf.

Langkah diambil PSTPs itu menyaksikan PSM kini mempunyai 19 ahli gabungan yang merangkumi 12 persatuan negeri dan tujuh ahli bersekutu sekali gus membuktikan badan induk sepak takraw negara itu masih relevan.

"Daripada 18 ahli sekarang ini menjadi 19. Kita ada 12 persatuan negeri dan tujuh ahli bersekutu. Sebelum ini ada 16 tak termasuk Perlis tetapi ada dua baharu iaitu Majlis Sukan Universiti (Masum) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memohon untuk menjadi ahli bersekutu.

"Ini menjadikan 18 kesemuanya dan apabila Perlis mengumumkan permohonan untuk kembali memasuki PSM, kita ada 19 kesemuanya," kata Sumali dalam satu sidang media tergempar di sebuah hotel di sini, hari ini.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan Mastaf yang diiktiraf Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) kini hanya mempunyai empat ahli gabungan iaitu Selangor, Sarawak, Putrajaya, Labuan. "Ini juga hasil daripada perbincangan sebelum ini, PSM sentiasa bermesyuarat, berbincang dan kita mengalu-alukan ahli Mastaf untuk bersama-sama dengan kita. Kita memahami kemelut terkini, jadi demi kebaikan sepak takraw di Malaysia, eloklah kita bersama-sama dalam keluarga PSM.

"Ini supaya lebih harmoni untuk kita sama-sama memajukan sukan, bukan untuk saya ataupun individu tetapi demi sepak takraw di negara kita. Saya fikir, langkah dibuat Syed Azmir sebagai satu langkah yang tepat dan saya faham, beliau memikirkan demi kebaikan sepak takraw negara, bukan untuk diri sendiri," kata Sumali.

Dalam pada itu, PSM turut memaklumkan mereka akan membuat penjenamaan nama persatuan kepada persekutuan namun masih mengekalkan akronim PSM dan ia bakal dicadangkan ketika Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:48 PM