SUMALI harap pegawai dan pemain  dapat meneruskan komitmen  di bulan Ramadan.
SUMALI harap pegawai dan pemain dapat meneruskan komitmen di bulan Ramadan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menjelaskan lebih 80 peratus skuad sepak takraw kebangsaan yang bakal menggalas cabaran di Sukan Sea Vietnam, bulan depan adalah pemain muda.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, peratusan berkenaan bertepatan dengan hala tuju digariskan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjadi sebahagian usaha menyediakan barisan pelapis kebangsaan pada masa depan.

"Pada masa ini, latihan sepenuh masa bagi pasukan lelaki sedang diadakan di Pahang manakala pasukan wanita pula di Terengganu," katanya.

Menurut beliau, PSM berharap pegawai dan pemain akan dapat meneruskan komitmen dalam latihan diatur khususnya di bulan Ramadan dan Syawal dan seterusnya memberikan prestasi yang terbaik untuk negara di Sukan Sea kelak.

Sementara itu, PSM yang dihimpit kontroversi selepas disingkirkan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) turut menjelaskan yang mereka tidak akan berganjak daripada keputusan membawa isu bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS) ke muka pengadilan.

"PSM bertegas kewujudan dua badan induk tidak memberikan sebarang faedah kepada pembangunan sukan sepak takraw. Malah ia akan lebih memudaratkan kepada perpaduan komuniti sepak takraw di dalam negara. "Sehubungan dengan itu, PSM sudah melantik peguam bagi menasihati tindakan perundangan yang diambil ke atas PJS," kata Sumali mengenai kemelut dua badan sepak takraw tempatan selepas PJS meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 6:40 PM