PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan membuat laporan polis berhubung artikel seorang pemain sepak takraw negara mendakwa diarah memboikot dan mensabotaj Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Sumali berkata, artikel itu melaporkan beberapa kenyataan dibuat Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman apabila kenyataan itu tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang berat terhadap PSM dan dirinya selaku Presiden PSM.

"Saya menegaskan, saya tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk memboikot Kejohanan Piala Raja Thailand ke-35 atau mana-mana kejohanan sekalipun dan saya menganggap kenyataan Presiden Mastaf yang dilaporkan dalam artikel berkenaan sebagai tuduhan sangat berat terhadap saya dan PSM kerana ia membabitkan maruah negara dan industri sukan tanah air.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ia secara jelas telah menjejaskan reputasi saya secara peribadi dan merosakkan imej PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw negara yang selama ini bekerja keras untuk memartabatkan sukan sepak takraw negara.

"Saya berharap siasatan terperinci dapat dijalankan pihak polis untuk memastikan segala tuduhan palsu terhadap saya dan PSM dapat dibersihkan dan pihak yang berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

"Selain itu, saya akan mengambil tindakan undang-undang selanjutnya dengan mengemukakan saman fitnah terhadap pihak berkenaan," katanya.

Suhaili menerusi laporan itu berkata berdasarkan laporan diterimanya, pemain negara mengadu tidak dapat mempamerkan aksi terbaik kerana berasa tertekan apabila diarahkan untuk memboikot kejohanan berprestij itu.

Katanya lagi, Mastaf akan menghantar laporan penuh kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung aduan dibuat pemain itu.

Malaysia menamatkan kempen di Bangkok itu dengan pencapaian satu pingat emas dalam acara beregu lelaki dan tiga gangsa masing-masing menerusi regu lelaki, regu berpasukan lelaki dan beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 6:45 PM