KIM Swee catur strategi terbaik hadapi TFC di Likas. FOTO Sabah FC
KIM Swee catur strategi terbaik hadapi TFC di Likas. FOTO Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC tekad bangkit semula daripada kekalahan besar pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC, di Stadium Likas, Sabtu ini.

Walaupun mengakui cabaran besar dan tugas berat menanti pemainnya, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yakin anak buahnya mampu memberikan saingan terbaik.

Menurutnya, paling penting Sabah FC perlu mengelak dibolosi gol awal pada perlawanan yang dijangka sengit selepas Sabah tewas 0-4 pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Beliau berkata, jika gawang Sabah FC dibolosi awal, anak buahnya perlu berusaha berlipat kali ganda untuk memastikan mereka dapat memberikan saingan secukupnya sepanjang perlawanan itu nanti.

"Sebaliknya, jika Sabah FC mampu untuk mendapatkan gol sudah tentu ini akan membantu meningkatkan semangat juang mereka sekali gus memberikan tentangan hebat kepada Terengganu FC nanti.

"Boleh dikatakan ia satu laluan cukup mencabar tetapi tidak mustahil. Apa yang penting kita tahu semua pemain ingin membuktikan apa yang berlaku di Terengganu sebelum ini perkara amat sukar (diterima)," katanya mengulas persiapan pasukannya berdepan perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:19 PM