AZEEM (kiri) dan Shereen menunjukkan pingat dimenangi mereka di Terbuka Kazakhstan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
AZEEM (kiri) dan Shereen menunjukkan pingat dimenangi mereka di Terbuka Kazakhstan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan mengenai atlet terpilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 atas satu tiket 'wild card' hanya akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Pengarah Teknikal KOM, Robert J Ballard ketika dihubungi berkata, semuanya berada di bawah bidang kuasa barisan pemilihan KOM yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.

Beliau berkata, ia susulan selepas dua pelari harapan negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy gagal melayakkan diri ke temasya terbesar itu secara merit.

Selaku pengarah teknikal yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan dua atlet negara itu, Ballard berkata, ketika ini kedua-duanya mempunyai kedudukan tertinggi dalam ranking dunia dalam acara masing-masing.

"Mereka mempunyai kedudukan ranking tertinggi dalam kalangan atlet negara yang lain. Mereka adalah calon yang layak untuk dipilih.

"Tapi ia bukan di bawah bidang kuasa saya. Ahli jawatankuasa pemilihan akan bermesyuarat mungkin dalam tempoh lima hari lagi atau lebih awal untuk membuat pemilihan siapakah yang akan mewakili negara ke Paris 2024 nanti," katanya.

Terdahulu Azeem dan Shereen gagal menghasilkan keputusan diinginkan pada Kejohanan Terbuka Kazakhstan, Sabtu lalu, sekali gus menutup peluang melayakkan diri secara merit ke Paris 2024.

Kejohanan itu adalah peluang terakhir buat kedua-dua pelari itu melayakkan diri sebelum tarikh tutup kelayakan pada 8 Julai menerusi kedudukan ranking.

Pada kejohanan itu, Azeem yang turun dengan misi untuk muncul juara selain perlu mencatat 10.20 saat (s) bagi melonjakkan rankingnya terpaksa akur apabila sekadar meraih tempat ketiga dengan catatan 10.37s.

Shereen pula yang juara acara 400 meter (m) dengan catatan 52.60s turut gagal melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu 50.95s.

Untuk layak secara merit berdasarkan kedudukan ranking, Azeem perlu menembusi kelompok 56 terbaik manakala Shereen perlu berada di kalangan 48 pelumba terbaik.

Berdasarkan kedudukan dikemaskini Olahraga Dunia (WA), Azeem kini berada di kedudukan ke-67 manakala Shereen berada di ranking 105.

Bagi acara olahraga, tiket 'wild card' yang ditawarkan hanya untuk acara 100m, 800m dan maraton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:55 PM